TAHUKAH ANDA

Tengku Hassanal titah Istana Pahang tidak akan lindungi kerabat yang didakwa serang orang awam

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam di Kuantan pada 6 Jun lalu.

Ini ekoran laporan Malaysiakini.com seorang pekerja pembinaan jalan menjadi mangsa serangan berkumpulan kerabat diraja Pahang gara gara pertikaian isu tanah.

“Saya mahu tindakan tegas dan siasatan yang adil, tanpa sebarang kompromi.

“Tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja,” titah baginda.

Alias Awang, 44, mendakwa dia diserang di sebuah kandang kuda di Kuantan oleh kira-kira 20 orang termasuk seorang “anak Tengku” pada 6 Jun lalu.

Dia mendakwa seorang orang suruhan kerabat itu menikam kakinya dengan pisau manakala kerabat itu pula menembak kakinya tetapi tersasar.

Menerusi satu kenyataan petang Khamis baginda bertitah,”sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan.”

Baginda memberikan komitmen bahawa istana tidak akan melindungi pihak yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan undang-undang, termasuk kerabat.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman hari ini berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada timbalan pendakwa raya.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.-5/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button