Menteri Kesihatan tolak kemungkinan PKP berkaitan kes cacar monyet

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Selasa beri khabar mengenai virus cacar monyet yang buat ramai menarik nafas lega.
Beliau menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan terhadap negara ini susulan kebimbangan berkait kes virus itu.
Menurutnya negara masih kekal dengan angka 9 kes positif yang direkodkan tahun lalu dan tiada kes baharu dilaporkan setakat ini.
Dr Dzulkefly berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh, pada Selasa.
Katanya, KKM menjalankan saringan di pintu-pintu masuk negara termasuk laut dan darat.
“Ini melibatkan saringan pintu-pintu masuk antarabangsa laut, udara dan darat. Sehingga hari ini Alhamdulillah, Allah izinkan kita tidak lagi mendapat kes positif daripada mereka yang kita syaki.
“Saya sebagai menteri kerap diasak untuk meningkatkan prosedur operasi standard (SOP). Insha-Allah mpox tidak akan mengulangi waktu yang sangat kita elak, seperti kehidupan terjejas sebelum ini.
“Jangan risau tidak akan ada MCO (lockdown) seperti dalam era pandemik COVID-19. Namun saya juga ingatkan semua, jangan pula terlalu selesa kerana kita tahu transisi (jangkitan) virus ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata setakat ini lebih enam juta pengembara yang masuk ke negara ini sudah disaring.- 10/9/2024