FOKUS

Teresa Kok tuntut RM25 juta…Akmal Saleh kata ‘Ok nyonya, kita jumpa di mahkamah’

Pertikaian mengenai isu sijil halal antara Teresa Kok dan Dr Akmal Saleh jadi semakin panas pada Rabu bila Ahli Parlimen DAP Seputeh mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ketua Pemuda UMNO itu membayar ganti rugi sebanyak RM25 juta.

Namun Akmal yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka tegas kata beliau sedia berdepan dengan Teresa Kok di mahkamah.

“Ok nyonya. Kita jumpa di mahkamah. No fear no surrender #drakmalsaleh,” kata Muhamad Akmal menerusi hantaran ringkas di Facebook beliau.

Teresa Kok yang juga Naib Pengerusi DAP mengemukakan LOD itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners, berhubung kenyataan yang didakwa sebagai fitnah oleh Muhamad Akmal dalam video di aplikasi TikTok, Sabtu minggu lalu.

Sebelum ini, Teresa Kok mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas mendakwa Akmal mahu menampal logo tidak halal pada dahinya.

Isunya bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Sehari kemudian Teresa Kok mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.- 11/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button