YANG VIRAL

Tiada yang kacau daun…BN berentap dengan PN di PRK DUN Mahkota

Semasa pilihanraya negeri Johor pada 2022 empat parti Barisan Nasional (BN),Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan berentap di kerusi Dewan Undangan Negeri Mahkota di Kluang,Johor.

Ia dimenangi oleh calon BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dengan majoriti 5,166 undi.

Nampaknya pada pilihanraya kecil (PRK) DUN itu pada 28 September ini tiada parti lain yang tampil untuk kacau daun gelanggang BN dan PN.

Pada penamaan calon Sabtu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail hanya calon BN Syed Hussien Syed Abdullah, 40 dab calon PN Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang daftar untuk bertanding.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah , 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Terdahulu, Syed Hussien yang berbaju Melayu biru tiba di pusat penamaan calon diringi Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.

Turut kelihatan ialah Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Manakala bagi PN, antara yang hadir menyatakan sokongan kepada calon ialah Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengarah PRK Mahkota, serta Pengerusi PN Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Cuaca baik membolehkan ribuan penyokong kedua-dua parti yang bertanding berhimpun di sekitar pusat penamaan calon seawal 6.45 pagi, bagi menyambut ketibaan calon serta pucuk pimpinan parti mereka.

Selain 28 Sept sebagai hari pengundian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan undi awal pada 24 Sept, manakala tempoh berkempen pula ialah selama 14 hari yang bermula hari ini hingga 11.59 malam, 27 Sept.

DUN Mahkota yang merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang, mempunyai 66,318 pengundi berdaftar terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.- 14/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button