FOKUS

PM ‘gempur’ sektor pertanian…mahu amalan kartel dihentikan…

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya cukup sedar mengenai pelbagai masalah yang sudah lama belenggu sektor pertanian negara ini.

Beliau menegaskan segala keputusan yang dibuat haruslah berdasarkan fakta, serta mengambil kira apa yang terbaik untuk petani, nelayan dan pekebun kecil di negara ini.

Anwar mahu amalan kartel dalam sektor pertanian negara mesti dan wajib dihentikan.

Katanya amalan lama mengimport benih secara kartel dan monopoli perlu dihentikan serta-merta.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang pada Sabtu.

“Kalau nak jamin produktiviti maka seluruh ekosistem itu harus teratur, sama ada melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) khususnya atau kementerian lain. Kemudian benih dan baja tidak boleh secara kartel dan monopoli seperti dahulu.

“Sebab itu kita perlu satu menteri dan KSU (ketua setiausaha) yang tegas dan keras menyatakan bahawa amalan kartel lama import baja mesti dan wajib dihentikan,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, timbalannya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor makanan menjadi antara tonggak utama yang harus negara hasilkan dan diberikan tumpuan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata adalah penting untuk memastikan satu ekosistem yang holistik dan mampan dengan tidak hanya bergantung kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sahaja.

“FAMA menjadi tonggak… prestasi FAMA jauh lebih baik sekarang. Sebab itu saya kata ekosistem mesti berjalan, kementerian pertanian ini kementerian yang besar, kementerian yang punya tanggungjawab yang sangat penting dan strategik bagi negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap agar setiap subsidi yang diberikan kerajaan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil, berupaya memberikan pulangan yang baik kepada mereka.

Anwar juga memberitahu kerajaan merancang beberapa projek mega dalam sektor pertanian termasuk projek raksasa tanaman padi fasa pertama, dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM5 bilion.

Beliau berkata projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada meningkatkan hasil tanaman padi bagi pesawah terlibat serta menaikkan taraf hidup mereka.

“Maka, tumpuan diberikan KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dengan fokus terhadap peningkatan pengeluaran padi beras negara,” katanya.

Anwar juga mahu semua kementerian dan agensi untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi menjamin produktiviti pengeluaran makanan negara tercapai.

Beliau berkata menjadi cabaran kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam menggerakkan masyarakat khususnya golongan petani, pesawah dan nelayan untuk bersama-sama menerima perubahan sedang dirancang bagi melonjakkan hasil dengan lebih baik.

“Bagaimana kita mahu gerakkan masyarakat, termasuk golongan petani, pesawah, nelayan untuk juga terima perubahan (transformasi industri pertanian) ini, dan melonjakkan hasil dengan baik,” katanya.- 14/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button