TAHUKAH ANDA

Serbuan ke atas rumah amal hasil siasatan, risikan selama 6 bulan

Serbuan ke atas 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) berhubung dakwaan eksploitasi serta penderaan kanak-kanak adalah hasil risikan dan siasatan oleh pihak polis selama enam bulan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya menyiasat syarikat itu sejak 2011 iaitu sebelum dakwaan terhadap GISBH tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah bertemu dengan wakil Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) enam bulan lalu.

“Mereka juga yang menyalurkan maklumat awal dan memudahkan siasatan semula pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap GISBH,” katanya ketika dihubungi Sabtu.

Razarudin berkata, polis turut menerima satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli GISBH dari Negeri Sembilan namun ia ditarik balik.

“Wanita itu kemudian membuat laporan baharu dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu memberi polis satu petunjuk yang boleh dipercayai dan diambil tindakan.

Razarudin berkata, walaupun siasatan sudah bermula enam bulan lalu, polis tidak terlambat untuk bertindak dan mereka hanya boleh membuat tangkapan selepas menerima petunjuk yang boleh dipercayai.

“Saya juga menyeru bekas ahli GISBH yang pernah membuat laporan polis sebelum ini dan menariknya balik selepas itu supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Pada Rabu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu rumah amal terbabit yang terletak di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta menyelamatkan 402 individu masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 17 tahun dipercayai milik sebuah syarikat didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.—BERNAMA- 14/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button