Mirzan dan Mokhzani sudah isytihar harta kepada SPRM

Kisah pengisytiharan harta dua anak Tun Dr Mahathir Mohamad yakni Mirzan dan Mokhzani kepada SPRM yang tertangguh tangguh sejak Januari tahun ini sudah berakhir.
Selepas ini apa yang ditunggu ialah hasil siasatan SPRM serta apakah langkah selanjutnya.
Mirzan dan adiknya Mokhzani – keduanya tokoh koprat sudah beres buat pengisytiharan itu kepada SPRM mengikut tempoh masa diberikan suruhanjaya itu.
Hal ini dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam sidang akhbar di Putrajaya Rabu.
Beliau bagaimanapun tidak sebut tarikh mereka buat pengisytiharan itu serta butir lanjut mengenainya.
Pada 14 Ogos lalu, SPRM bersetuju untuk memberi lanjutan tempoh kepada Mirzan Mahathir dan abangnya Mokhzani sehingga pertengahan September ini untuk mengisytiharkan harta.
Sebelum itu kedua mereka telah diberi beberapa kali lanjutan tempoh.
Sekiranya gagal mereka boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.
Azam ketika itu berkata tempoh pertengahan September adalah lanjutan terakhir sebulan yang diberikan kepada mereka.
Pada sidang akhbar itu Azam kata pihak penyiasatan sedang buat engagement (libat urus) dan penyelarasan dengan peguam mereka.
Katanya perkara yang penting adalah kedua-dua anak Mahathir itu telah mengisytiharkan aset mereka.
Pada 18 Januari lalu, SPRM dilapor memanggil Mirzan yang juga anak sulung Mahathir bagi membantu siasatan berkait kekayaannya dengan notis untuk mengisytiharkan harta dikeluarkan kepadanya.
Mokhzani pula dilapor disiasat disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan turut dikehendaki mengisytiharkan harta SPRM dalam tempoh ditetapkan.
Azam dipetik berkata, dua anak bekas Perdana Menteri itu boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi berkenaan.
Mirzan dan Mokhazni melalui kenyataan media susulan bagaimanapun meminta SPRM bersabar dan menjelaskan mustahil untuk mengumpulkan pelbagai maklumat selama 43 tahun.
Menurut Mirzan dan Mokhzani, SPRM meminta senarai aset sejak 1981 iaitu bermula tahun pertama Mahathir menjadi Perdana Menteri.- 18/9/2024