FOKUS

Polis beku 96 akaun milik syarikat GISB dalam siasatan isu eksploitasi kanak-kanak

Polis setakat ini telah membekukan 96 akaun milik Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH),syarikat yang dikaitkan dengan isu eksploitasi kanak-kanak.

Jumlah yang terlibat dalam pembekuan akaun berkenaan ialah RM581,552.31.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain memberitahu sidang akhbar di Kuala Lumpur Selasa kesemua akaun bank berkenaan dibekukan untuk siasatan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Beliau memberitahu selain itu sebanyak empat akaun telah ditutup dan lapan kenderaan telah dikeluarkan perintah pembekuan.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dan Timbalan Pengarah R/O JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus.

Pakar Perunding Kecemasan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noorzilawati Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimi; Pengarah Bahagian Institut Pendidikan Guru Malaysia KPM, Dr Mohd Azam Ahmad serta Pengarah Bahagian Perancangan dan Pengurusan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wan Noraidah Wan Mohd Zain.

Dalam sidang akhbar itu,Razarudin juga memberitahu individu dipercayai mendera kanak-kanak lelaki ketika di bawah jagaan salah sebuah rumah amal GISBH, antara suspek ditahan dalam serbuan, minggu lalu.

Katanya perkara itu dikesan menerusi sesi merakam keterangan untuk melengkapkan siasatan berhubung dakwaan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak.

“Kebetulan yang mendera itu memang dalam suspek kita yang kita tangkap.

“Sekarang kita nak kenal pasti siapa mangsa,” katanya.

Semalam, tular satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didakwa didera itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.

Pada 10 Sept lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.

Serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.

Sementara itu, seramai 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.

Sementara itu, Razarudin berkata kebanyakan daripada ibu bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan itu telah dikenal pasti namun masih ada belum tampil.

Kemungkinannya disebabkan awal perkahwinan mereka tidak didaftarkan, katanya.- 17/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button