FOKUS

Kerajaan buat keputusan kekal dasar sukarela mohon sijil halal…

Setelah melalui kontroversi yang panas khususnya antara Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh…tiada perubahan akan dibuat pada dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi beritahu menerusi satu kenyataan pada Rabu mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju mengekalkan dasar sedia yakni bersifat sukarela.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal kata dasar sedia ada yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam (Main) atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) bersifat sukarela sejak ia mula dilaksanakan pada 1974 serta diperkukuh dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Dasar sedia ada ini kekal dan ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia,”katanya.

Menurutnya melalui SPHM yang diperolehi tersebut, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

Justeru, beliau berkata, JAKIM menggesa pemain industri memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis mereka.

Terdahulu, Jemaah Menteri membuat pertimbangan itu selepas Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membentangkan isu berkaitan pensijilan Halal Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Susulan itu, JAKIM menggesa pemain industri agar memohon SPHM memandangkan ianya boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis berkenaan.

“Bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi pembimbing usahawan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta telah menawarkan pelbagai insentif dan inisiatif.

“Ia ditawarkan dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran kepada pihak industri untuk memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal,” katanya.

Zahid berkata, pada masa sama, JAKIM turut memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari.

“Statistik menunjukkan di antara Januari hingga Julai 2024, sebanyak 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh 30 hari tersebut.

“Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM,” jelasnya.

Sebelum ini kontroversi berkaitan pensijilan halal meletus apabila Teresa Kok mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bahawa JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Teresa Kok mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Dr Akmal melabelkan Teresa Kok yang juga Naib Pengerusi DAP itu sebagai ‘nyonya tua’.

Tegasnya Teresa Kok tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

Beliau turut meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin itu.

Lanjutan kontroversi itu Teresa Kok telah hantar surat tuntutan kepada Dr Akmal sebanyak RM25 juta selepas mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Ketua Pemuda UMNO itu kata beliau tidak gentar dan sedia berdepan dengan Ahli Parlimen DAP itu di mahkamah.- 18/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button