TAHUKAH ANDA

Wanita Palestin yang buat kecoh di WTKL menyesal dengan perbuatannya…

Jika sebelum ini Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali memohon maaf….kini wanita Palestin yang cetuskan kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) Rabu lalu pula suarakan rasa kesal atas perbuatannya.

Wanita Palestin itu, Aminah Muhammad Nafi’ Jamal Abd Rabah menyatakan demikian menerusi video Tik Tok.

Dia mengakui rakyat Palestin yang berada di negara ini menerima layanan baik.

Aminah berkata, perbuatan itu dilakukan dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat menghubungi anak-anaknya yang berada di Gaza.

“Saya minta maaf dan sangat menyesal apa yang telah saya lakukan. Saya bersumpah dengan nama tuhan, saya tidak buat dengan sengaja. Kami sedang melalui situasi dan keadaan yang sangat sulit yang hanya Allah yang tahu.

“Selain itu sudah seminggu saya tak boleh hubungi anak-anak saya (di Gaza). Tiada komunikasi dan saya tidak dapat tahu apa-apa tentang mereka di sana.

“Saya bersumpah atas nama Tuhan, saya mohon maaf atas apa yang dilakukan oleh saya. Serius, kamu adalah orang yang baik, murah hati dan menghormati orang. Dan kami berterima kasih kerana menerima kami dengan layanan yang baik.

“Kamu melayan kami dengan segala kebaikan, rasa hormat dan penghargaan. Kamu sudah melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi kamilah yang melakukan kesalahan terhadap anda (rakyat Malaysia),” katanya.

Video Tik Tok itu dirakam dalam bahasa Arab dengan sarikata dalam Bahasa Melayu.

Kekecohan dilaporkan berlaku gara gara wanita Palestin berkenaan tidak dibenarkan menginap di luar WTKL.

Menerusi video yang tular kelihatan sebilangan rakan wanita itu buat bising dan kecoh.

Kejadian itu telah membuatkan kalangan warganet mengecam perbuatan mereka hingga ada yang desak mereka dihantar pulang.

Warga Palestin berkenaan adalah kalangan 127 orang termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza dibawa ke Malaysia dengan dua pesawat TUDM dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah, Mesir pada 16 Ogos lalu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekecohan yang diakukan beberapa individu rakyat Palestin di WTKL baru-baru ini, tidak boleh dijadikan alasan untuk menghantar semua rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka.

Saifuddin berkata adalah tidak masuk akal untuk kerajaan berbuat demikian kerana negara mereka sedang terlibat dalam peperangan.

Menteri itu juga meminta rakyat Malaysia supaya tidak membuat sebarang kesimpulan umum berdasarkan kejadian itu dan menyalahkan semua rakyat Palestin.

Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali telah memohon maaf serta turut mengecam perbuatan warga Palestin yang berkenaan.

Katanya ia tidak menggambarkan kelakuan rakyat Palestin secara umumnya.-6/10/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button