Kes Altantuya: Azilah ‘selamat’ dari hukuman mati

Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah ‘selamatkan’ bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu, 18 tahun lalu dari hukuman mati.
Menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan pada Khamis hukuman mati keatasnya digantikan dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Azilah,48 membuat permohonan semakan hukuman mati itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Azilah telah disabitkan pada 2009 bersama seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.
Azilah dan Sirul Azhar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.
Bagaimanapun, pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen negara itu sebelum dibebaskan pada akhir tahun lepas.
Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.
Keputusan di Mahkamah Persekutuan dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat .
Dua lagi hakim yang turut bersidang bersama-sama Tengku Maimun ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan
Justeru, panel hakim itu menggantikan hukuman mati itu dengan pemenjaraan 40 tahun bermula dari tarikh Azilah ditangkap pada 1 November 2011 selain turut mengarahkan pemohon itu dikenakan 12 kali sebatan.
Terdahulu, panel terbabit turut dimaklumkan bahawa bapa Altantuya iaitu , Dr Shariibuu Setev turut menyokong permohonan semakan Azilah untuk diberikan hukuman pemenjaraan atas dasar kemanusiaan.
Sokongan itu turut dipanjangkan kepada Sirul.
Bagaimanapun difahamkan, Sirul tidak memfailkan sebarang permohonan semakan.- 10/10/2024