FOKUS

Lagi wang rasuah ditemui di dua ‘safehouse’ lain…siapa ahli politik itu?

Ketika tandatanya hangat berlegar siapa ahli politik dibelakang penemuan RM5 juta wang rasuah di sebuah ‘safehouse’ Sabtu malam…SPRM pada Ahad malam pula jumpa RM321,000 di dua buah ‘safehouse’ lain.

Setakat ini pelbagai spekulasi dibuat mengenai identiti ahli politik berkenaan ekoran laporan mengatakan orang itu pernah berpengaruh di sebuah negeri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki beritahu wartawan di Kota Kinabalu Isnin ekoran penggeledahan di dua lokasi Ahad malam ditemui mata wang asing lebih kurang SGD$74,000 atau RM243,000 di satu lokasi dan
lebih kurang RM78,000 di lokasi lain.

SPRM juga mendapat maklumat ada wang telah dibuat pelaburan di Singapura dan mungkin ada dibuat penyimpanan di bank-bank lain.

Azam Baki memberitahu ada lokasi ‘ safehouse’ itu di Kuala Lumpur dan ada sekitar Selangor.

“Rasanya akan ada lagi penemuan-penemuan di safehouse yang lain, yang ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan risikan terhadap penyimpanan wang ini,’katanya.

Sabtu malam lalu SPRM menyerbu sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur yang disyaki digunakan sebagai tempat menyimpan wang rasuah dan menyita mata wang Singapura berjumlah SGD1,529,000 (RM5 juta).

Wang itu dikatakan untuk membiayai kegiatan politik ahli politik berkenaan.

Sehingga hari ini SPRM sudah menahan empat orang dan mengambil keterangan membabitkan 15 saksi.

Menurut Azam Baki mereka yang ditahan membabitkan seorang pengarah syarikat, seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berusia 45 tahun, bekas pemandu berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 46 tahun yang juga bekas pegawai kewangan.

“Pemandu terbabit hanya ditahan sehari berikutan dia menghidap kanser prostat, dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam manakala seorang lagi direman sehingga 15 Oktober (esok).

Sementara itu, SPRM juga akan memanggil ahli politik yang dikaitkan dengan seorang daripada empat suspek selepas ini.

“Dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh pegawai penyiasat saya,” katanya.

Beliau menjelaskan seperti lazimnya, SPRM perlu mendapatkan segala bukti-bukti yang kita rasa wajar dan telah disahkan barulah orang yang berkenaan akan dipanggil.

Ditanya wartawan, beliau enggan mendedahkan kedudukan ahli politik itu sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang.

“Oh, itu soalan cepumas.“Saya akan beritahu kamu bila masanya sesuai,” katanya.-14/10/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button