Shazalli Ramly dilantik Penasihat Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri

Kekosongan jawatan Penasihat Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) ekoran kematian bekas penyandang Allahyarham Rozaid Abdul Rahman pada 18 Ogos lalu sudah diisi.
Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly,62 yakni Penasihat Media Khazanah Nasional Berhad telah dilantik memegang jawatan itu berkuatkuasa semalam Isnin.
Ia diumum menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Mohammed Shazalli sebelum ini adalah bekas Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd dari Disember 2020 hingga Disember 2022.
Beliau adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) dari April 2017 dan Jun 2018.
Sebelum itu, beliau adalah CEO serantau dan Naib Presiden Eksekutif Korporat Axiata Group Bhd dari September 2016 hingga Mac 2017.
Mohammed Shazalli memegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada St. Louis University, Missouri, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Muda Sains (Pemasaran) daripada Indiana University Bloomington, AS.
Menurut kenyataan itu beliau akan memantau urusan media dan komunikasi Perdana Menteri dan turut ditugaskan untuk menambahbaik pelaksanaan kempen Malaysia MADANI.- 15/10/2024