Thursday - 19, June 2025

Makin panas…lanjutan kisah podcast Shamsul Iskandar vs Zahid Hamidi

Share

Nampaknya jenuh juga bagi Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin nak bersilat tangkis isu cakapnya dalam podcast ‘Apa Cerita’ mengenai keputusan pilihanraya umum ke 15 pada 19 November 2022 di Bagan Datuk dimana beliau tewas tipis lawan Datuk Seri Zahid Hamidi.

Ini kerana komentarnya yang seolah gambarkan beliau ‘berkorban’ tidak minta pengiraan semula keputusan yang dimenangi Presiden UMNO itu dengan hanya majoriti 348 undi telah mencetuskan pelbagai tanggapan tidak menyenangkan dari sudut politik.

Apa lagi beliau secara terbuka cakap dalam podcast itu telah batalkan hasratnya setelah mendapat arahan menerusi panggilan telefon dari Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu yang kritikal itu.

Dakwanya arahan Anwar itu adalah bagi membolehkan kerajaan perpaduan dibentuk.

‘’ Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tandatangan untuk menubuhkan kerajaan’,” katanya dalam podcast itu.

Dalam saingan bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk itu Zahid memperoleh undi sebanyak 16,578 undi manakala Shamsul Iskandar calon PH 16,230 undi, calon Bersatu Dr. Faiz Na’aman 8,822 undi dan calon bebas Tawfik Tun Dr Ismail (226 undi).

Jumlah perolehan undi dan majoriti Zahid yang merupakan panyandang kerusi parlimen itu dan juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk merosot teruk berbanding PRU-14 dimana beliau menang dengan majoriti 5,073 undi selepas mendapat 18,909 undi.

Antara implikasi negatif dari insiden pendedahan Shamsul Iskandar di podcast ini ia dikatakan boleh menjejaskan integriti proses pilihanraya.

Ia juga boleh menghangatkan lagi dakwaan sudah wujudnya pakatan sulit untuk bentuk kerajaan PH-BN sebelum pilihanraya diadakan lagi sekalipun pimpinan UMNO turun padang dengan slogan ‘No Anwar…No DAP’.

Imej Presiden UMNO pula boleh tercalar kerana dianggap lemah dan ‘menang’ tipis dengan belas ihsan calon lawan yang tidak tuntut kiraan semula undi.

Malah Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh sendiri dilaporkan bersuara anggap pendedahan Shamsul Iskandar mengenai insiden di Bagan Datuk pada malam keputusan PRU itu sangat tidak wajar.

Ketua Penerangan UMNO yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said meminta Shamsul Iskandar menghormati proses demokrasi serta mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh mencetuskan spekulasi negatif.

Anak Zahid, Nurulhidayah, yang merupakan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia antara yang paling awal menghentam Shamsul Iskandar.

Beliau menyindir Shamsul Iskandar dengan kata “bila seseorang merasakan terpaling tahu dan terpaling hero, keluarlah pengakuan halusinasi.

“Kira sekarang ini kau nak kata kaulah korban diri untuk bergabung (bagi penubuhan kerajaan PH-BN) ?”

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menegur Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan bersikap matang.

Katanya ‘tersalah cakap’ boleh menimbulkan ketidakselesaan rakan parti dalam kerajaan.

Beliau berkata, ia juga boleh memberi kesan kepada kedudukan politik Shamsul Iskandar begitu juga Perdana Menteri.

“Sebagai orang kuat Perdana Menteri, Shamsul sewajarnya bercakap dengan lebih matang tanpa menampakkan sikap kebudak-budakkan.

“Hubungan baik yang terjalin antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan baharu, malah sudah lama sebelum Shamsul kenal Anwar,’’ katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata beliau tidak berhasrat untuk memperbesarkan isu berkenaan namun lebih mementingkan hubungan yang ada dalam Kerajaan Perpaduan sekarang khususnya antara UMNO dan PKR.

“Tapi sudah tentu kami tidak akan berdiam diri bila Presiden kami dipersenda dengan kenyataan yang berbaur ‘dendam’ dan cuba memperlihatkan seolah-olah Zahid menang dengan ehsannya.”

Terbaru, Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Salleh dan Ketua Puteri UMNO Nurul Amal Mohd Fauzi meminta Shamsul Iskandar tidak membuat spekulasi murahan.

“Pilihan raya ini ada undang-undang, kalau rasa boleh menang atau tidak berpuas hati buat bantahan kepada SPR pada masa yang ditetapkan bukan buat spekulasi murahan seperti ini seolah-olah memberikan kemenangan kepada Zahid Hamidi.

“Menang tetap menang dan kalah tetap kalah mengikut undang-undang. Tak perlu acah jadi hero. Pilihan raya akan datang lawan lagi lah. Apa ada masalah,” kata Dr Akmal.

ADUN Merlimau dan Exco Kerajaan Negeri Melaka itu turut menyoal apakah ketika Shamsul Iskandar kalah bertanding di DUN Paya Rumput pada pilihan raya negeri Melaka 2021, beliau dipaksa untuk tidak buat bantahan kepada SPR.

Sementara itu, Nurul pula berkata tiada “isu membunuh” sebaliknya, Shamsul Iskandar tidak faham proses demokrasi.

Katanya, pengiraan semula hanya dilakukan di peringkat saluran, iaitu di tempat pengundian berlangsung. Ia pula dengan syarat bahawa perbezaan undi di antara kedua-dua calon adalah adalah kurang dari 4 peratus.

“Jika tiada kira semula di saluran mengundi maka Ketua Tempat Mengundi akan mengeluarkan keputusan dalam Borang 14 selepas pengiraan selesai dan semua kertas undi dimasukkan dalam peti undi.

“Kesemua peti undi dan Borang 14 akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi. Kesemua keputusan dari Borang 14 akan dijumlahkan untuk mendapat keputusan penuh.

“Pemenang akan diumumkan selepas menerima Borang 14 daripada semua saluran. Seandainya ada pertikai atau protes, calon perlulah buat petisyen,” katanya.

Menurut pemimpin Puteri UMNO itu, dalam kes di Parlimen Bagan Datuk itu, kemenangan Presiden UMNO tersebut adalah dengan sebanyak 348 undi.

“Calon kalah tiada kuasa mohon kira semula di pusat penjumlahan undi.

“Sekadar mereka cerita menyedapkan keadaan. Maka istilah membunuh demokrasi juga tidak berlaku kerana jika ada kerjasama pintu belakang tidak perlu Presiden UMNO korbankan kerusi sendiri dengan kemenangan paling tipis,” katanya.

Justeru, Nurul meminta semua pihak supaya tidak perlu berpolitik dengan berbicara isu berkenaan kerana ini tidak menambah duit poket rakyat atau menambah peluang pekerjaan.

Badan pemantau reformasi pilihan raya, Tindak Malaysia, meminta Shamsul Iskandar menjelaskan pasal dakwaan bahawa beliau diarahkan untuk tidak mencabar kiraan undi yang menyaksikan beliau kecundang kepada Zahid.

Sebagai sebuah organisasi yang komited untuk melaksanakan reformasi pilihan raya, kata NGO itu, mereka amat bimbang dengan dakwaan dibuat pegawai kanan Anwar itu.

Kata Tindak Malaysia, kesan daripada insiden di Bagan Datuk itu berpotensi untuk menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada proses pilihan raya di negara ini.

Pengarah Tindak Malaysia, Danesh Prakash Chacko, berkata hak untuk meminta supaya dibuat kiraan semula undi adalah mengikut budi bicara calon dan tanpa mengira sebarang pertimbangan daripada parti politik.

“Sebagai salah seorang calon untuk kerusi parlimen Bagan Datuk, adalah tidak boleh diterima Shamsul Iskandar mengabaikan kepercayaan pengundi begitu saja dengan mengabaikan haknya sebagai calon tanpa mengambil kira pertimbangan politik yang dihadapi,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mazlan Ali berkata, meskipun kenyataan Shamsul Iskandar bersifat pandangan peribadi, namun ia menimbulkan ketidakselesaan kepada rakan dalam kerajaan perpaduan khususnya UMNO.

“Kenyataan Shamsul dianggap tidak produktif kepada hubungan parti-parti perpaduan. Anwar kena beritahu kepada pemimpin dalam PH jangan menggugat kestabilan Putrajaya dengan kenyataan tidak positif,” katanya.

Podcast ‘Apa Cerita’ bersama Shamsul Iskandar yang disiar enam hari lalu itu dikendalikan oleh Asyraf Khalid (anak Datuk Khalid Jiwa) dan Ishraq Kamarudin (anak Pengerusi Air Asia Datuk Kamarudin Meranun). – 16/10/2024

Read more

khabar terbaru