Anwar jelaskan pasal lantikan orang politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah GLIC dan GLC…

Sudah menjadi lumrah orang politik penyokong kerajaan khusus kalangan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak dilantik sebagai anggota pentabiran mengintai jawatan sebagai
Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ini kerana jawatan berkenaan memberi kekuatan politik,nilai tambah serta kemudahan untuk berperanan pada diri mereka.
Atas sebab itu soal lantikan ke jawatan berkenaan bagi mereka yang tidak dapat jawatan Menteri,Timbalan Menteri atau Exco Kerajaan Negeri selalu menjadi isu.
Pada Selasa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan dasar kerajaan pimpinannya mengenai lantikan berkenaan di sidang Dewan Rakyat.
Menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT),Anwar menjelaskan pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat GLIC dan syarikat GLC tidak mendiskriminasi orang politik.
Ahli parlimen lantang dari PKR itu meminta Perdana Menteri agar tidak mengamalkan lantikan dalam kalangan ahli politik atau pegawai kerajaan yang masih bertugas ataupun sudah bersara.
Kata Anwar orang politik hanya tidak diizinkan daripada dilantik sebagai ahli lembaga pengarah institusi kewangan dan beberapa agensi lain yang berkaitan.
“Itu tidak diizinkan ahli-ahli politik dalam ahli lembaga, itu memang tegas dan kita mendukung prinsip ditekankan Bank Negara,” katanya.
Menurut Perdana Menteri selain kelayakan lantikan ahli lembaga pengarah juga perlu melalui beberapa proses termasuk semakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, SPRM dan polis.
“Ini untuk pastikan rekod mereka itu bersih dan dapat dipertahankan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menjelaskan setiap pelantikan yang dibuat juga adalah berdasarkan faktor profesional dan bukan kerana ahli politik semata-mata.
Pada 16 Oktober baru ini timbul isu mengenai lantikan anak bekas Perdana Menteri Najib Razak, Nooryana Najwa sebagai ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Lantikan itu diumum oleh Pengerusi Matrade Reezal Merican Naina Merican.
Sekalipun Nooryana Najwa mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang dalam bidang ekonomi ada kalangan tetap mempersoalkan lantikan berkenaan.- 22/10/2024