CEO GISB dan anak pengasas Al-Arqam antara 21 didakwa jadi kumpulan jenayah terancang…

Mahkamah Sesyen Selayang dekat Kuala Lumpur pada Rabu menjadi tumpuan bila CEO GISB Holdings (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali, 65 serta 21 individu lain didakwa atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang
Turut didakwa isteri Nasiruddin iaitu Datin Azura Md Yusof, 57 dan anak kepada pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau ‘Abuya’ iaitu Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32.
19 lagi individu ialah Hasnan Abd Hamid, 53, 32, Mohd Shukri Mohd Noor, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34, Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Selain itu, Hamimah Yakub, 72, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly,44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32, Siti Salmiah Ismail, 57.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang iaitu GISBH di sebuah premis di Jalan Desa, Country Homes di Rawang, dekat Gombak antara Oktober 2020 sehingga 11 September lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, dan Siti Hajar Mat Radzi.
Manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Rosli Kamaruddin, Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Boestamam Ahmad, dan M. Hafiz Zainal Abidin.
Sejurus pertuduhan dibacakan ke atas kesemua tertuduh, mahkamah menetapkan 23 Disember depan bagi sebutan semula kes.
Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.
Sebelum ini media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zin memaklumkan 58 individu ditahan mengikut Sosma termasuk 16 orang yang juga pengurusan tertinggi GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan pada 11 September lalu.
Mereka merupakan antara 415 individu yang ditahan di dalam operasi itu sehingga fasa keempat.
Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.- 23/10/2024
Pengurusan tertinggi GISBH, anak Abuya antara 22 didakwa hari ini
Pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan isteri antara 22 individu yang akan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini,Rabu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang semalam.
“Turut akan didakwa mengikut pertuduhan yang sama esok (hari ini) ialah anak kepada pengasas Al-Arqam, dan kesemua individu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Pada 10 Okt lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis.
-Bernama -23/10/2024