KEMASKINI : Perkembangan siasatan isu FashionValet…SPRM sita 11 beg tangan mewah

Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar terus menjadi fokus dalam siasatan SPRM kes kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd.
Selain kena sambung beri keterangan kepada SPRM di ibupejabatnya di Putrajaya hari ini selama tiga jam beberapa orang pegawai agensi itu juga sertai mereka buat pemeriksaan ke beberapa premis termasuk kediaman milik pasangan pengasas platform e-dagang di sekitar Lembah Klang.
Laporan yang memetik sumber memberitahu SPRM telah menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dianggarkan bernilai RM200,000 dalam pemeriksaan di kediaman pasangan itu.
Sumber berkata penggeledahan bermula 5.30 petang sehingga 8 malam itu membabitkan 12 pegawai SPRM yang turut disertai peguam mereka.
Semalam, Vivy dan Fadzarudin beri keterangan selama kira-kira sembilan jam di SPRM mulai 2.30 petang sehingga 10.30 malam.
Hari ini mereka hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 12.54 tengah hari dan kelihatan keluar pada jam 4.23 petang.
Pasangan berkenaan tidak memberikan sebarang komen kepada media yang menunggu di luar pekarangan sejak jam 10 pagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata pemeriksaan ke premis berkaitan bertujuan mendapatkan dokumen dan eksibit berkaitan serta maklumat aset dimiliki pasangan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Pegawai saya mengikuti mereka pergi ke rumah mereka dan mana-mana premis berkaitan untuk buat siasatan lanjut. Pegawai saya dalam proses buat siasatan terhadap premis dimiliki pasangan berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut seperti ambil dokumen dan sebagainya.
“Apa-apa perkembangan lanjut kita akan maklumkan, jadi siasatan kedua-dua ini masih lagi berjalan sebenarnya,” katanya.
Menurut Azam, siasatan kes masih di peringkat awal dan semalam serta hari ini merupakan proses merekod keterangan pasangan itu yang diteruskan dengan pemeriksaan dokumen dan aset.
Beliau turut mengesahkan SPRM telah mengambil keterangan daripada tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan namun tidak memberikan perincian lanjut.
“Setakat ini ada tambahan tiga kenyataan (keterangan) menjadikan sembilan orang telah dirakam percakapan mereka. Jadi mereka ini diambil keterangan untuk membantu persoalan mengenai akaun dan sebagainya,” katanya.
Setakat Isnin lepas, Azam dilapor berkata empat saksi dari PNB, Khazanah dan Kementerian Kewangan telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terbabit.
Pada hari yang sama, SPRM juga telah menyerbu pejabat sebuah perniagaan fesyen dalam talian tempatan dan tiga premis lain serta merampas pelbagai dokumen untuk tujuan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.- 6/11/2024
Pengasas FashionValet Vivy dan suami beri keterangan pada SPRM
Kisah kerugian pelaburan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM43.9 juta dalam FashionValet terus menjadi isu panas.

Semalam,Isnin heboh pasal serbuan SPRM serentak di Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan ibu pejabat FashionValet di Bangsar semalam.
Hari ini Selasa pengasas syarikat FashionValet Sdn Bhd Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya, bagi memberikan keterangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, ia bagi membantu siasatan berhubung kerugian besar pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
Menurut Azam, mereka merupakan antara enam individu yang dirakamkan percakapan.
Beliau juga mengesahkan SPRM telah mengambil beberapa dokumen kewangan susulan serbuan di empat premis semalam.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.
Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.
“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu. – 5/11/2024