Anwar bertemu Li Qiang, berterima kasih kepada China atas sokongan untuk BRICS

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang, di The Grand Halls,Shanghai pada Selasa, membicarakan hal-hal kepentingan bersama Malaysia dan China sejak pertemuan terakhir mereka di Putrajaya pada 19 Jun lepas.
Dalam pertemuan itu, Anwar menyatakan Malaysia “amat berterima kasih” kepada China yang berada di barisan hadapan dalam menyokong penyertaan Malaysia dalam BRICS, blok ekonomi baharu yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.
“Semuanya berjalan lancar, dan kami telah mengembangkan kerjasama ke semua bidang, termasuk ekonomi, sosial, pendidikan, penyiaran, ketenteraan, dan perlindungan sempadan,” kata Anwar.
Anwar turut mengimbas kembali lawatan Qiang ke Malaysia sebagai satu peristiwa yang bermakna, baik untuk dirinya secara peribadi mahupun bagi kerajaan Malaysia, yang mempercepatkan perbincangan mengenai pelaburan utama dan isu-isu dua hala yang kritikal.
Lawatan kerja Anwar ke China, dari 4 hingga 7 November, termasuk lawatan ke Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7.
Anwar diiringi delegasi menteri-menteri kanan termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
China telah mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, menggambarkan keteguhan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China.
— BERNAMA -5/11/2024
Anwar, Li Qiang saksi pertukaran dokumen Pelan Kerjasama BRI
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan China berkaitan Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Pelan itu menyasarkan pembangunan berkualiti tinggi dan kerjasama antara Malaysia dan China menerusi penyelarasan dasar, kesalinghubungan infrastruktur yang lebih baik dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.
Selain itu, ia turut meliputi kerjasama kewangan yang lebih mendalam serta hubungan yang diperkukuh dalam pelbagai sektor lain seperti pendidikan, sains dan teknologi, media, budaya, pelancongan, kesihatan dan sukan.
Pertukaran dokumen berkenaan adalah antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional China, Liu Sushe.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke China mulai semalam hingga 7 November atas jemputan Qiang bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan Shanghai.
Beliau tiba pada Isnin (4 November), menjadikan Shanghai sebagai destinasi pertama sebelum meneruskan perjalanan ke Beijing.
Tengku Zafrul pada Julai lepas dilaporkan berkata keputusan Malaysia untuk mengesahkan penglibatan dalam BRI menjadikannya antara yang pertama di ASEAN berbuat demikian, justeru mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi antara Malaysia dan China.
Menurutnya, langkah ini telah menghasilkan projek transformasi yang menambah baik kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi.
Tengku Zafrul berkata syarikat China telah melabur dengan ketara di Malaysia, daripada projek infrastruktur berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada industri berteknologi tinggi di zon ekonomi khas.
Syarikat Malaysia juga telah mencapai kejayaan di China terutama dalam sektor seperti pembinaan, kewangan, hasil pertanian dan pengeluaran makanan halal, katanya.
— BERNAMA -5/11/2024