Dakwaan KDN luluskan warganegara secara borong kepada pelancong China…itu fitnah sangat dashyat

Dakwaan mengatakan kononnya ada sekitar 1.2 juta pelancong rakyat China masuk ke Malaysia tetapi tidak keluar semula bukan cerita baru.
Ia sudah lama berlegar.
Betulkah kong kalikong yang serius ini berlaku di negara ini?
Setakat ini belum ada lagi bukti sahih dan meyakinkan bahawa jumlah pelancong China sebesar itu jadi ‘pendatang haram’ di Malaysia.
Hari ini kita dapat mendengar kenyataan rasmi dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri mengenai isu berkenaan.
Beliau menjawab dakwaan berkenaan ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) di Dewan Rakyat.
Menteri itu minta hentikanlah dakwaan 1.2 juta ini tak keluar ini.
Menurutnya dakwaan KDN luluskan warganegara secara borong…itu fitnah yang sangat dahsyat.
“Lebih baik hentikanlah,” katanya
Saifuddin menafikan dakwaan kononnya 1.2 juta pelancong rakyat China masuk ke Malaysia dan tidak keluar semula.
Beliau menjelaskan jumlah ketibaan pelancong China bagi tempoh 1 Jan 2018 hingga 30 Nov lepas adalah seramai 8,491,653 orang dan pelepasan keluar 8,012,294 orang.
Beliau berkata baki 479,359 orang tidak keluar dari Malaysia merangkumi individu dengan pas jangka panjang seramai 129,005, diusir atas kesalahan di bawah akta tertentu seramai 5,359 dan permohonan pas khas berjumlah 141,783 selain individu yang berada dalam Depoh Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Jadi jumlah individu dengan pas lawatan sosial yang belum keluar (dari Malaysia) adalah 84,817 daripada sejumlah 8,491,653 jumlah ketibaan,” katanya. – 7/11/2024