Siasatan SPRM isu FashionValet dapati ada transaksi meragukan

Terdapat perkembangan yang agak menarik perhatian ramai pada Khamis hasil siasatan SPRM keatas kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Ini bilamana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
“Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
“Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023,” katanya seperti dilaporkan Khamis malam.
Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Jelasnya, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
“Kita melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalahguna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, SPRM kini dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.
“Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barangan yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial,” katanya.
Ditanya sama ada pasangan itu akan ditahan, Azam berkata, pihak tidak akan berbuat demikian buat masa ini kerana mereka memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Sementara itu Khamis sudah masuk hari ketiga Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Mereka tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 2.34 petang.
Vivy meninggalkan pejabat itu jam 4 petang tanpa kelibat suaminya.- 7/11/2024