TAHUKAH ANDA

Fitnah: Muhyiddin diperintah bayar RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng

Mahkamah Tinggi memerintahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar RM1.35 juta sebagai ganti rugi kepada Lim Guan Eng kerana menfitnah Pengerusi DAP itu berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain hari ini membenarkan saman Guan Eng terhadap Muhyiddin setelah mendapati bekas menteri kewangan itu berjaya membuktikan kesnya.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng menfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwanya membuat tiga kenyataan fitnah pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang melibatkan beliau dalam isu pembatalan cukai itu.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary, walaupun yayasan kebajikan itu diberi pengecualian.

Roz Mawar dalam penghakimannya berkata Muhyiddin mempunyai pelbagai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya berhubung kenyataan yang dikeluarkan adalah betul.

Beliau berkata Muhyiddin bagaimanapun tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif (Guan Eng) selepas plaintif memberitahunya tentang kepalsuan dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu.

“Tambahan pula sekarang keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan, tiada justifikasi untuk membuat kenyataan berunsur fitnah sedemikian.

“Mahkamah ini mendapati defendan gagal membuktikan kebenaran dakwaannya,” katanya.

Roz Mawar seterusnya berkata mahkamah mendapati pembelaan yang mengatakan bahawa kenyataan itu adalah komen yang adil juga gagal, atas beberapa sebab yang kukuh.

— BERNAMA – 8/11/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button