Al-Fatihah…Rosnah Majid sudah tiada

Takdir jalan hidupnya sudah begini.Siapa sangka dia pergi untuk selamanya semasa datang ziarah adiknya yang baru keluar hospital kerana rawatan sakit jantung.
Bekas wartawan Utusan terkenal dan ahli politik Datuk Rosnah Majid meninggal dunia pagi Ahad 10 November pada usia 71 tahun.
Allahyarham meninggal dunia setelah terjatuh di bilik air di rumah adiknya itu di Teluk Bahang,Pulau Pinang.
Rosnah yang tinggal di Kuala Lumpur pergi ke Pulau Pinang kelmarin bersama kakaknya Mariam untuk ziarah adiknya itu.
Dia dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada tengahari ini (Ahad).
Kematiannya mengejutkan ramai rakan kerana tidak pernah mengadu mengidap sebarang penyakit kebelakangan ini.
Selain itu dia terus aktif berinteraksi dengan rakan rakan menerusi grup whataps bekas wartawan Utusan sehingga Sabtu malam.
Rosnah ialah bekas Pengarang Meja Ekonomi Utusan dan juga pernah mengetuai Meja Rencana.
Sewaktu di Utusan, dia merupakan wartawan yang prolifik dengan tulisannya yang tajam meliputi bidang politik, ekonomi dan sosial.
Dia membuat temuramah mantap dengan tokoh-tokoh politik samada dalam kerajaan mahupun pembangkang.
Allahyarham turut melaporkan berita dari tempat-tempat bergolak seperti medan perang Iran dan Iraq sewaktu Perang Iran-Iraq (1981-1984), menyaksikan Doi Moi di Vietnam (1988) serta kacau-bilau di Kemboja (1991-1993).
Rosnah juga dianugerahkan Fellow Journalist en Europe yang membolehkan beliau belajar kewartawanan di Centre pour Journalisme di Paris, Peranchis (1985-1986).
Selain itu dia turut dianugerahkan Nieman Fellowship, fellowship paling berprestij di dunia dalam bidang kewartawanan yang membolehkanya melanjutkan pelanjaran di Universiti Harvard, USA (1988-1989).
Allahyarham ialah penerima Anugerah Kajai yang pertama pada tahun 1984.
Anugerah Kajai, hadiah kewartawanan Malaysia paling tinggi dan berprestij.
Rosnah menerima anugerah itu ekoran tulisannya mengenai Empangan Tembeling yang dicadangkan oleh kerajaan dibina di Taman Negara, Pahang. Cadangan empangan itu akhirnya dibatalkan.
Dia berhenti dari Utusan untuk mencebur diri sepenuh masa dalam politik.
Pada September 1995, dia memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Merbok, Kedah.
Selepas berkhidmat sebagai Ketua Unit Khas di ibu pejabat UMNO Kuala Lumpur mulai Januari 1999, dia berhenti untuk bertanding dalam pilihan raya umum pada November 1999 dan memenangi kerusi kawasan Dewan Undangan Negeru Tanjong Dawai, Kedah.
Pada Disember 1999, Rosnah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah, menjadikannya wanita pertama di negeri itu yang dilantik ke jawatan Exco.
Allahyarham dilahirkan di Kampung Sg. Pial, Merbok, Kedah. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Singkir dan Sekolah Menengah Merbok, Kedah sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Jalan Kolam Air, (sekarang dinamakan Sekolah Menengah Puteri) Kuala Lumpur.
Seterusnya belajar di Universiti Malaya dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.
Rosnah tidak pernah berkahwin.
Jenazahnya dibawa pulang dari Pulau Pinang ke rumahnya di Bukit Mas,Taman Melawati untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate,Hulu Kelang pagi Isnin.- 10/11/2024