Nama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus menjadi sebutan bukan kerana kecemerlangan pendidikan tetapi kerana kes buli kejam.
Ingatkan kes 2017 yang membawa maut seorang pelajar Allahyarham Zulfarhan Osman dan enam pelajar senior dikena hukuman mati mencetuskan kesedaran tentang gejala ini…rupanya tidak.
Ngeri mendengar kisah pelajar itu 90 kali ditekap dengan seterika wap, yang menyebabkan 80 peratus tubuhnya melecur.
Pada 22 Oktober lalu berlaku lagi satu kes buli di UPNM dimana seorang pelajar ditekap dengan seterika sehingga melecur dan pelakunya sudah dihadapkan ke mahkamah
Amirul Iskandar Norhanizan, 22 Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadap ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat 8 November atas tuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelajar junior.
Dia dituduh menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20 menggunakan seterika wap panas di sebuah bilik asrama Blok Kasturi, ALK UPNM Kem Sungai Besi pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu.
Terbaru meletup pula kes yang berlaku sehari sebelum itu yakni pada 21 Oktober lalu.
UPNM sekali lagi digemparkan dengan kejadian pelajar universiti berkenaan parah akibat dipijak pelajar senior
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menerusi satu kenyataan memberitahu laporan berkaitan diterima pihaknya kira-kira jam 8.40 malam pada 8 November lalu.
“Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa yang merupakan pelajar tahun satu telah dipijak pelajar senior yang merupakan pelatih tahun tiga universiti berkenaan.
“Kejadian mengakibatkan mangsa berumur 18 tahun itu mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di tepi padang kawad universiti berkenaan setelah namanya selesai dipanggil.
“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur berhubung kecederaan yang dialami.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.
“Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan,” katanya.
Ketika berucap di UPNM pada 1 November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan gejala buli sebagai “kegilaan” dan menggesa tindakan lebih tegas diambil untuk membanterasnya.- 10/11/2024