
Kes buli UPNM…Syed Saddiq tanya Nak tunggu ada kematian lagikah sebelum bertindak?
Selepas tiga kejadian buli kejam oleh pelajar senior keatas junior di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kata “enough is enough”.
Menerusi hantaran di laman X beliau bertanya ‘Nak tunggu ada kematian lagikah sebelum bertindak?.”
Syed Saddiq bangkit persoalan ini Ketika memberitahu melalui laman berkenaan beliau telah mengemukakan usul tergempar ke Parlimen, hari ini, untuk mencari penyelesaian tuntas terhadap isu buli yang membimbangkan di negara ini.
Kata Syed Saddiq “buli sudah sistemik dan dinormalisasikan di UPNM. Pelajar dibunuh dengan kejam depan ramai orang.
“Pelajar didera pada siang hari di tempat terbuka. Pelajar ditekap dengan seterika dan dikatakan ‘jenaka’ sahaja. This is ridiculous (ini mengarut).
“Enough is enough (cukup-cukuplah). Nak tunggu ada kematian lagikah sebelum bertindak?” tulisnya dalam hantaran itu.
Berdasarkan gambar dokumen yang dikongsikannya, Syed Saddiq dalam usul itu berkata, beliau memohon ‘Dewan Rakyat untuk membahaskan suatu usul berkenaan adat membuli yang sudah membarah secara sistemik di UPNM.’
“Beberapa siri kejadian pembulian yang teruk telah dilaporkan sejak beberapa tahun lalu. Terdapat mangsa yang telah meninggal dunia pada 2017. Kejadian serupa juga telah berlaku hingga ke hari ini, yang telah dilaporkan kepada pihak pengurusan.
“Usul ini adalah perkara tertentu kerana perkara ini telah berlaku sejak dari dulu dan tidak wajar dibiarkan berulang lagi pada masa hadapan, tidak kira di UPNM mahupun pusat pengajian tinggi yang lain.
“Usul ini juga perlu berkehendak disegerakan kerana melibatkan nyawa dan keselamatan penuntut di UPNM. Mengikut laporan kes yang diberitahu, hingga ke hari ini masih terdapat kes-kes pembulian berlaku walaupun peristiwa menggemparkan yang meragut nyawa telah berlaku di tempat sama.
“Malah, terdapat juga kemungkinan ada kes-kes tidak dilaporkan kepada pihak pengurusan kerana bimbang keselamatan pengadu tidak dapat terjamin. Keadaan ini amat mendukacitakan kerana kejadian serupa yang berulang meletakkan nyawa pelajar dalam keadaan tidak kondusif untuk meneruskan pembelajaran.
“Usul ini juga melibatkan kepentingan ramai kerana perkara ini tidak hanya inklusif kepada penuntut di UPNM, malah perlu diperluaskan skop ini kepada semua pusat pengajian tinggi di Malaysia. Perbuatan keji ini harus dihentikan serta-merta dan tidak boleh berlaku lagi walau di mana saja.
“Kejadian buli ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan, terutama di pusat pengajian tinggi di Malaysia, agar dapat memelihara nama baik institusi serta melahirkan graduan berkualiti tinggi untuk memacu negara ke arah lebih baik,” katanya dalam dokumen usul berkenaan.
Semalam timbul kes yang baru dilapor kepada polis pada 21 Oktober di UPNM membabitkan seorang penuntut tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Sebelum itu kes 22 Oktober dimana pelajar junior ditekap dengan seterika oleh pelajar senior .Kes itu telah dibawa ke mahkamah.
Kes yang paling teruk ialah pada 2017 yang akibatkan kematian seorang pelajar Allahyarham Zulfarhan Osman kerana 90 kali ditekap dengan seterika wap, yang menyebabkan 80 peratus tubuhnya melecur.
Dalam kes itu enam pelajar senior dikena hukuman mati oleh mahkamah.- 11/11/2024