Allahyarham Tun Daim dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan tidak isytihar harta

Hajat keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk melihat adanya ‘penutup rasmi’ yakni bersalah atau tidak kepada kes mahkamahnya atas tuduhan gagal mematuhi notis tidak mengisytiharkan harta tidak kesampaian.
Sekalipun isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid membuat kenyataan semalam,Selasa mahu kes bekas Menteri Kewangan itu diteruskan…peraturan tetap peraturan.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu melepas dan membebaskan Allahyarham yang meninggal dunia pada 13 November daripada tuduhan berkenaan.
Pada 29 Januari lalu, Allahyarham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Antara, aset-aset itu merangkumi satu bank akaun, tujuh kenderaan, 38 syarikat dan 25 hartanah atau tanah di bawah syarikat.
Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan. Mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan di kalangan solihin,” katanya.
Seksyen 254 CPC menyatakan, dalam mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa Raya, jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang ia tidak akan mendakwa tertuduh dan semua prosiding hendaklah diberhentikan serta tertuduh hendaklah dibebaskan daripada pertuduhan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya.
“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.
Semalam, Na’imah menggesa pendakwaan supaya meneruskan kes itu, supaya peguam pembelaan dapat membantu membersihkan nama arwah suaminya di mahkamah.- 20/11/2024