Ekoran kes maut renjatan elektrik…larangan guna soket elektrik 3-pin dalam bas berkuatkuasa serta merta

Ingat balik…kes seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth pada jam 7.40 malam, Jumaat 1 November lalu.
Mangsa Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18 tahun dari Kampung Mesra Bagan Lalang, Butterworth menaiki bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur Sentral.
Hari ini,Rabu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengeluarkan satu kenyataan umum semua pengendali bas tidak dibenarkan menggunakan soket elektrik 3-pin di dalam bas berkuatkuasa serta merta.
Rentetan kejadian itu itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 4 November telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk menelitinya.
Katanya Pasukan Petugas Khas mendapati pendawaian elektrik pada bas tersebut adalah tidak teratur, di mana sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.
Di samping itu, kata beliau, penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas tersebut juga tidak memenuhi standard piawaian barangan yang ditetapkan.
Katanya, pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Selain itu didapati bahawa sebuah lagi bas milik pengendali yang sama turut mempunyai spesifikasi pendawaian elektrik yang sama.
Berikutan itu pihak berkuasa telah mengeluarkan surat pemberhentian sementara operasi bas berkenaan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas.
Menurut Loke bagi proses pelesenan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan beberapa keputusan laporan atau sijil yang diperlukan.
“Antaranya, pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
“Selain itu, pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan (contoh: kabel, soket alur keluar, peranti arus baki dan lain-lain) yang digunakan oleh semua kenderaan perdagangan mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia,” katanya.- 20/11/2024