Pada 6 Disember depan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu orangramai dapat menyaksikan hukuman sebatan dilaksana keatas seorang lelaki kerana kesalahan melakukan khalwat berulang.
lelaki, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail mengenakan hukuman enam sebatan itu selepas tertuduh yang juga seorang duda selepas dia mengaku salah atas tuduhan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.
Kamalruazmi ketika penghakiman berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat adalah memberi pengajaran, pendidikan dan sebagainya suatu pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya.
“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Kamu (Affendi) pernah disebat dan dipenjara tetapi buat lagi (berkhalwat).
Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi.
Sebelum ini pada 11 Julai 2023, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Pada 25 Januari lalu, tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari lalu menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu. – 20/11/2024