Thursday - 5, December 2024

Penjelasan lanjut mengenai kos lawatan PM ke 5 negara…kerajaan jimat RM900,000

Share

Kerajaan membayar untuk penerbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara baru baru ini dan bukan dibiayai oleh mana-mana syarikat.

Dalam pada itu pengunaan pesawat sewa khas MAS jenis Airbus A350 kali ini telah menjimatkan RM900,000.

Hal ini dijelaskan oleh jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Anwar melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November lalu dan kemudian ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga 19 November.

Semalam, Perdana Menteri menjelaskan kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditampung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.

Ekoran itu ada kalangan pembangkang yang tidak setuju tajaan syarikat swasta untuk lawatan rasmi kerana bimbang amalan itu membuka ruang kepada konflik kepentingan dan menjejaskan integriti pentadbiran.

Fahmi memberitahu kerajaan hanya membayar RM1.66 juta atau 27 peratus kos lawatan rasmi Perdana Menteri ke lima negara itu berbanding kos sebenar RM6.162 juta.

Selebihnya RM4.5 juta atau 73 peratus ditanggung oleh syarikat yang terlibat.

Fahmi menjelaskan dengan sewaan khas pesawat, kerajaan menjimatkan sejumlah RM900,000 daripada lawatan rasmi tersebut.

“Dengan sewaan khas pesawat ini, pihak kerajaan akan mendapati ada penjimatan jika dibandingkan dengan pesawat sedia ada (jet eskutif kerajaan) yang jumlah kosnya akan mencecah RM2.5 juta,” katanya.

Kos penginapan, makanan dan pengangkutan pula diuruskan oleh kerajaan tuan rumah atau penganjur acara seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dan Sidang Kemuncak G20.

Selain Petronas, semalam Anwar memberitahu Dewan Rakyat, bahawa Sapura Energy, Yinson, Proton dan syarikat semikonduktor yang tidak dinamakan, turut serta dalam lawatan itu.

Menurut Fahmi syarikat terlibat mempunyai tujuan pelaburan seperti Petronas mempunyai pelaburan sehingga AS$6 bilion di Brazil.

Sementara itu, Fahmi yang juga ketua penerangan PKR, turut menjawab kehadiran Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berada dalam acara-acara Anwar dalam lawatan rasmi di luar negara.

Menurut Fahmi, kehadiran bekas ahli parlimen Permatang Pauh yang juga anak sulung Anwar atas jemputan pihak penganjur.

Katanya, jemputan tersebut dibuat selepas isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak dapat memenuhi jemputan daripada pihak penganjur.

“Nurul Izzah telah dijemput antara lain kerana Datuk Seri Dr Wan Azizah juga tidak mengikuti rombongan ini.

“Dia (Nurul Izzah) telah dijemput sebagai pengarah Social and Economic Research Initiative (Seri) tapi jemputan itu telah dipanjangkan oleh penganjur,’ katanya.

Diminta mengulas sumbangan Nurul Izzah dalam lawatan itu, Fahmi berkata beliau tidak ada maklumat mengenainya.- 22/11/2024

Read more

khabar terbaru