Thursday - 5, December 2024

Banjir makin buruk, jumlah mangsa di PPS cecah 152,000

Share

Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah buruk dengan Pahang menjadi negeri terbaharu yang ditimpa musibah itu, menyaksikan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini berbanding 146,611 orang malam tadi.

Bagaimanapun situasi di Negeri Sembilan dan Selangor pula mencatatkan sedikit penurunan mangsa setakat pukul 8 pagi ini.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir di 284 PPS mencecah 96,743 orang daripada 29,928 keluarga setakat ini berbanding 93,158 orang malam tadi.

Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 29,370 orang, diikuti Tumpat (17,680), Kota Bharu (14,154), Pasir Puteh (9,870) dan Kuala Krai (6,614).

Turut terkesan, Bachok dengan 6,952 mangsa, Machang (6,098), Tanah Merah (5,318), Jeli (660) dan Gua Musang (36).

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan lima sungai utama masih melepasi paras bahaya, namun menunjukkan penurunan iaitu Sungai Kelantan di Kusial Baru (16.64 meter), Sungai Kelantan di Kusial (16.66 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang (11.20 meter), Sungai Golok di Tumpat (4.22 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3.65 meter).

Di TERENGGANU jumlah mangsa terus meningkat kepada 43,281 orang pagi ini berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, melibatkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan.

Menurut data terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Besut kekal dengan angka tertinggi iaitu sebanyak 16,084 mangsa, diikuti Hulu Terengganu (7,080), Dungun (6,470), Setiu (6,332), Kuala Terengganu (2,940), Kuala Nerus (2,307), Kemaman (1,230) dan Marang (775).

Menerusi semakan di portal InfoBanjir, setakat pukul 8.15 pagi tadi 12 stesen bacaan paras air sungai melibatkan empat di daerah Hulu Terengganu, tiga di Dungun, dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kemaman, Marang dan Setiu merekodkan paras bahaya.

Sementara itu, di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,754 orang daripada 2,671 keluarga yang ditempatkan di 53 PPS setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 8,580 orang daripada 2,622 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan Kota Setar mencatatkan 2,953 mangsa, Kubang Pasu (2,825), Padang Terap (1,082), Sik (1,075), Pokok Sena (604), Kuala Muda (182) dan Baling (33).

Jumlah mangsa banjir di JOHOR turut meningkat pagi ini kepada 592 orang daripada 175 keluarga, berbanding 507 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata daerah Tangkak mencatatkan 311 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS, manakala Segamat menempatkan 281 mangsa di 11 PPS.

Beliau berkata tiga sungai iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak; Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang; dan Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil, Kota Tinggi dilaporkan berada pada paras bahaya.

Sementara itu, PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila 15 PPS dibuka di daerah Raub bagi menempatkan seramai 452 mangsa daripada 146 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah terkini mangsa di PPS sedang dikemas kini berikutan operasi pendaftaran banjir masih dilakukan.

“Punca utama banjir di daerah berkenaan adalah disebabkan kepala air yang turun lebih kurang serentak di Sungai Dong dan Sungai Gali. Pada pukul 10.51 malam tadi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Raub telah menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian banjir di Kampung Jelu, Kampung Bukit Pampong dan Ulu Gali.

“Susulan itu, APM Raub telah memindahkan mangsa ke PPS dan ketika ini, dalam tindakan dan bantuan selanjutnya oleh agensi lain,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 302 orang daripada 71 keluarga setakat 8 pagi ini yang ditempatkan di lima PPS.

Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan Melaka Tengah mencatatkan 111 mangsa, Alor Gajah (42), Jasin (149).

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 226 orang daripada 62 keluarga pagi ini berbanding 224 orang daripada 60 keluarga pada malam tadi.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata PPS SK Arau di Arau menempatkan 83 orang manakala 143 orang lagi berlindung di PPS Dewan Warisan (Kangar).

“Penduduk yang terjejas dengan banjir antaranya dari Kampung Rambai, Kampung Banggol Sena, Kuala Tunggang dan Kampung Alor Setar selain Kampung Tok Kandang, Kampung Repoh, Kampung Teluk Kacang, Kampung Bakau dan Kampung Behor Gonchar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir di tiga daerah iaitu Tampin, Jempol dan Kuala Pilah yang ditempatkan di 13 PPS terus menunjukkan penurunan kepada 1,925 orang daripada 538 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,985 mangsa daripada 569 keluarga malam tadi.

Di SELANGOR, situasi banjir di Meru, Klang pagi ini mencatatkan pengurangan mangsa kepada 102 orang daripada 32 keluarga berbanding 229 orang malam tadi yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai.

  • Bernama- 1/12/2024

Keadaan makin buruk, mangsa banjir kini lebih 120,000

Keadaan banjir di tujuh negeri pagi ini semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kini mencecah lebih 120,000 orang berbanding 106,505 orang dilaporkan malam tadi.

Di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat lebih 10,000 orang dalam tempoh 12 jam apabila data terkini oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) merekodkan sebanyak 35,124 mangsa pada 8 pagi ini berbanding 24,752 pada 8 malam tadi.

Kuala Terengganu menjadi daerah terbaru terjejas banjir kali ini, apabila 869 mangsa daripada 230 keluarga berteduh di empat PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Nilam, SK Paloh, SK Banggol Peradong dan SK Atas Tol.

Data terkini juga melaporkan peningkatan mangsa banjir di Besut yang kekal sebagai daerah paling teruk terjejas iaitu 13,930 orang ditempatkan di 117 PPS, diikuti Setiu (5,950 mangsa, 53 PPS), Hulu Terengganu (5,942 mangsa, 63 PPS), Kemaman (3,701 mangsa, 33 PPS) dan Dungun (3,492 mangsa, 44 PPS).

Selain Kuala Terengganu, dua lagi daerah yang masih mencatat bilangan mangsa bawah 1,000 ialah Marang dengan 679 mangsa di sembilan PPS dan Kuala Nerus (561 mangsa, lima PPS).

Sementara itu, 20 stesen bacaan paras air sungai di kesemua daerah, menunjukkan pada paras bahaya menurut semakan di portal InfoBanjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan kepada 80,640 orang daripada 25,042 keluarga yang ditempatkan di 279 PPS setakat 7.30 pagi ini berbanding 72,360 mangsa dilaporkan malam tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan dengan jumlah mangsa tertinggi ialah Pasir Mas dengan 24,890 mangsa diikuti Tumpat (13,429), Kota Bharu (10,885), Pasir Puteh (8,372) dan Kuala Krai 5,865 mangsa.

Sejumlah 5,734 mangsa dicatatkan di Machang, Bachok (5,592), Tanah Merah (4,837), Jeli (1,005) manakala 10 mangsa lagi di Gua Musang.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran, sembilan sungai utama di negeri itu masih melebihi paras bahaya.

Jumlah mangsa banjir di KEDAH terus bertambah kepada 7,911 orang daripada 2,420 keluarga, berlindung di 50 PPS setakat 8 pagi ini berbanding 6,037 orang daripada 1,850 keluarga, malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,570 orang yang ditempatkan di 15 PPS diikuti Kota Setar (2,294 orang di 10 PPS) dan Padang Terap (1,298 orang di 11 PPS).

“Di Sik, 986 orang di lapan PPS, Pokok Sena 585 orang di empat PPS dan Kuala Muda dengan 178 mangsa ditempatkan di dua PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir meningkat kepada 2,174 orang daripada 615 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS membabitkan empat daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin, Jempol dan Port Dickson setakat 8.30 pagi ini.

Di Tampin sebanyak 13 PPS dibuka, Port Dickson (satu), manakala Jempol dan Kuala Pilah masing-masing empat PPS dengan keseluruhan mangsa terdiri daripada dewasa 1,526, kanak-kanak (611) dan bayi (40).

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan peningkatan kepada 520 orang daripada 149 keluarga yang ditempatkan di empat PPS setakat 8 pagi ini berbanding 496 orang daripada 144 keluarga malam tadi.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mereka berlindung di empat PPS iaitu PPS SK Guar Nangka dan PPS SK Arau bagi kawasan Arau, masing-masing menempatkan 72 orang dan 173 orang manakala PPS SK Titi Tinggi, Padang Besar (133 orang) dan PPS Dewan Warisan, Kangar (142 orang).

Di JOHOR jumlah mangsa banjir di dua daerah terjejas iaitu Segamat dan Tangkak meningkat kepada 425 orang pada 8 pagi ini berbanding 305 orang malam tadi.

Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata daripada jumlah itu, daerah Tangkak melibatkan 302 mangsa daripada 91 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS manakala Segamat pula melibatkan 123 mangsa daripada 36 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 229 orang daripada 63 keluarga dan berlindung di enam PPS setakat 8 pagi ini, dengan satu PPS baharu dibuka di daerah Alor Gajah iaitu SK Ayer Jernih menjadikan keseluruhan empat PPS dibuka di daerah itu manakala masing-masing satu di Jasin dan Melaka Tengah.

Di PERAK, JPBN negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 20 orang melibatkan tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman, Kerian, yang mula berlindung di PPS berkenaan sejak Selasa lepas.

Di SELANGOR, situasi banjir menunjukkan jumlah mangsa yang berlindung di dua PPS iaitu PPS SK Sungai Binjai dan Balai MPKK Bukit Kapar yang dibuka sejak semalam di Klang berkurang sedikit kepada 473 individu daripada 119 keluarga berbanding 487 individu malam semalam.

  • Bernama

Jumlah mangsa banjir meningkat mendadak, Kelantan tertinggi

Hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 59,232 orang telah dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini, berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 22,156 orang di 53 PPS, diikuti Tumpat (8,434 mangsa, 17 PPS); Kota Bharu (5,944 mangsa, 31 PPS); Kuala Krai (5,253 mangsa, 39 PPS); Tanah Merah (4,366 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (2,844 mangsa, lapan PPS).

Jajahan lain yang turut terkesan dengan bencana ialah Pasir Puteh (4,956 mangsa, 21 PPS); Machang (4,395 mangsa, 20 PPS); Jeli (838 mangsa, lima PPS) dan Gua Musang (46 mangsa, sebuah PPS).

Sementara itu, portal Jabatan Pengaliran dan Saliran melaporkan beberapa sungai utama di Kelantan telah mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat 8 pagi ini, antaranya Sungai Lanas di Jeli dengan bacaan 28.78 meter, Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.17 m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.58 meter), Sungai Golok di Kampung Jenob (28.79 m) dan Sungai Sokor di Kampung Sokor (33.92 m).

Selain itu, Sungai Golok di Rantau Panjang juga kini berada di paras 11.50 m, melebihi had bahaya sembilan meter dan Tangga Bratley Kuala Krai pada paras 25.25 m.

Di TERENGGANU, seramai 20,911 orang daripada 5,916 keluarga berlindung di 232 PPS setakat 8 pagi ini berbanding 17,762 orang pada 8 malam semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan angka terkini itu membabitkan tujuh daerah terjejas, dengan Besut kekal mencatat bilangan tertinggi iaitu 9,338 mangsa di 96 buah PPS, diikuti Hulu Terengganu (4,333 mangsa), Setiu (4,255 mangsa), Kemaman (1,534 mangsa), Dungun (709 mangsa), Marang (668 mangsa), dan Kuala Nerus (74 mangsa).

Semakan di portal InfoBanjir menunjukkan bacaan paras air di sembilan stesen berada pada paras bahaya, iaitu enam di Setiu, antaranya Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri dan Kampung Bukit.

Di daerah Kemaman pula, ia melibatkan stesen Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman manakala Dungun membabitkan stesen Sungai Dungun di Kuala Dungun dan di Jambatan Jerangau.

Di KEDAH, bilangan mangsa banjir mencecah 4,378 orang daripada 1,432 keluarga setakat pagi ini berbanding 2,210 orang daripada 717 keluarga, malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari lima daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena dan Sik itu ditempatkan di 34 PPS.

Katanya Kubang mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,708 orang daripada 600 keluarga di 13 PPS, diikuti Padang Terap (1,145 keluarga daripada 338 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS)

“Manakala di Kota Setar, seramai 735 orang daripada 230 keluarga ditempatkan di tiga PPS, Pokok Sena seramai 429 orang daripada 140 keluarga di tiga PPS dan di Sik, seramai 361 orang daripada 124 keluarga ditempatkan di enam PPS,” katanya dalam kenyataan.

Peningkatan juga berlaku di PERLIS dengan seramai 488 orang daripada 145 keluarga berada di PPS setakat pukul 8 pagi ini berbanding 415 orang daripada 125 keluarga malam tadi.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mereka berlindung di empat PPS, iaitu PPS SK Guar Nangka dan PPS SK Arau bagi kawasan Arau manakala PPS SK Titi Tinggi (Padang Besar) dan PPS Dewan Warisan (Kangar).

Beliau berkata PPS SK Guar Nangka mempunyai 73 mangsa banjir, PPS SK Arau (175 orang), PPS SK Titi Tinggi (131 orang) dan PPS Dewan Warisan (109 orang).

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebuah PPS telah dibuka pada 11 malam tadi, menjadikan jumlah yang beroperasi setakat pagi ini adalah tiga.

Seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman di Kerian, manakala 49 mangsa daripada 15 keluarga diletakkan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Batang Padang.

Selain itu, sekretariat itu turut memaklumkan Sungai Rui di Gerik, berada pada paras amaran dengan merekodkan bacaan 165.52 meter berbanding paras normal iaitu 165.10 meter.

Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan seramai 291 mangsa daripada 100 keluarga ditempatkan di lapan PPS membabitkan dua daerah iaitu Kuala Pilah dan Tampin setakat 8.30 pagi ini.

PPS tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Keru, SK Gedok, SK Felda Sungai Kelamah, Dewan Felda Jelai 4, Masjid Felda Jelai 4 di Tampin; serta Dewan Orang Ramai Dangi, SK Undang Johol dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kampung Baru Kepis di Kuala Pilah dengan jumlah mangsa masih sedang dikemaskini.

  • Bernama – 29/11/2024

Read more

khabar terbaru