Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baharu berkuat kuasa, hari ini bagi sesi 2024-2027 menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pengumuman itu dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu kenyataan, hari ini.
Selain Azmin, turut diumum Datuk Seri Rina Harun sebagai Bendahari Agung dan Tun Faisal Ismail Aziz dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu.
“Sukacita saya mengumumkan pelantikan jawatan kanan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu bagi sesi 2024-2027 yang dibuat menurut Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu.
“Pelantikan membabitkan jawatan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Bendahari Agung, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berharap ketiga-tiga pemimpin tersebut dapat menjalankan tugas dengan amanah, cekap dan berintegriti.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Bendahari, Datuk Mohamed Salleh Bajuri dan Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris atas segala jasa dan khidmat bakti mereka kepada parti,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden susulan hanya satu pencalonan diterima dalam pemilihan parti itu.
Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin menang dalam pertandingan enam penjuru merebut jawatan Naib Presiden.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula dipilih sebagai Ketua Srikandi menggantikan Rina Mohd yang menarik diri dan Muhammad Hilman Idham dipilih sebagai Ketua Armada.- 29/11/2024