CUEPACS menggesa kerajaan untuk membina lebih banyak perumahan mampu milik untuk penjawat awam di bawah RM250,000 ke bawah bagi membantu golongan tersebut terutama mereka yang berpendapatan rendah memilik kediaman masing-masing. CUEPACS yakin faktor utama 52.95% daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih belum memiliki rumah sendiri adalah disebabkan harga yang mahal. Kebanyakan penjawat awam yang tidak memiliki rumah ini biasanya menyewa kediaman dengan kadar sekitar RM800 hingga RM1,200 sebulan secara purata terutama di bandar-bandar besar. Sekiranya rumah yang dijual oleh pemaju melebihi daripada RM250,000, sudah tentu faktor ketidakmampuan untuk membayar pembiayaan akan menjadi penghalang utama untuk penjawat awam memiliki rumah sendiri. Mereka fikir lebih baik daripada terus menyewa dengan kadar yang lebih rendah daripada perlu membayar pinjaman perumahan lebih daripada RM1,200 sebulan.
Masalah utama yang membelenggu penjawat awam dalam isu perumahan adalah harga kediaman yang ditawarkan di pasaran ketika ini terlalu tinggi berbanding pendapatan yang diterima. Kenaikan gaji yang diterima penjawat awam pula tidak selari dengan peningkatan harga rumah yang begitu ketara. Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Informasi Hartanah Negara (NAPIC), harga rumah di Malaysia dilaporkan telah meningkat hampir 100% dari tahun 2010 sehingga tahun 2020. Secara puratanya, rumah yang ditawarkan pada tahun 2010 bernilai RM217,857 sudah mempunyai nilai RM429,877 pada tahun 2020. Kemampuan untuk membeli rumah ini juga dipengaruhi oleh peningkatan kos sara hidup yang lain sehingga mengakibatkan pendapatan boleh guna penjawat awam semakin mengecil. Pada akhirnya rumah yang dicanang-canang sebagai mampu beli akhirnya menjadi perumahan mampu lihat sahaja disebabkan harga yang ditawarkan tidak selari dengan pendapatan yang diterima.
Justeru itu, CUEPACS menggesa agar kerajaan membina lebih banyak perumahan yang benar-benar mampu milik iaitu dibawah RM250,000 terutama di kawasan bandar besar. Syarat permohonan pemilikan rumah mampu milik untuk penjawat awam ini juga wajar dipermudahkan dan tidak ketat. Kerajaan juga wajar mengkaji semula kadar 4% faedah pembiayaan perumahan yang dikenakan oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam yang dilihat masih tinggi. Kadar tersebut wajar dikurangkan memandangkan badan tersebut bukanlah bermotifkan keuntungan semata-mata. CUEPACS berpendapat penuruan kadar faedah yang dikenakan LPPSA sedikit sebanyak boleh membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.
PRESIDEN CUEPACS
DATO DR HAJI ADNAN MAT