Isu cadangan untuk tukar balik nama Universiti Putra Malaysia (UPM) ke nama asalnya Universiti Pertanian Malaysia sudah beres.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada Ahad kata beliau akur titah Sultan Selangor supaya dikekalkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Saya mengambil maklum bahawa keputusan dibuat baginda Sultan Selangor dan canselor UPM adalah muktamad.
“Saya tidak mahu panjangkan isu ini apa-apa lagi. Saya akur dan itu adalah keputusan yang baik,” katanya pada wartawan selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur.
Pada Khamis lalu Mohamad Sabu dilaporkan berkata, beliau akan membawa cadangan penukaran UPM kepada nama asalnya Universiti Pertanian Malaysia ke Jemaah Menteri selepas mengambil kira keutamaan negara kini memfokuskan isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian.
Namun, cadangan itu dibantah Sultan Sharafuddin dengan baginda menegaskan jenama Putra membawa maksud “Pertanian Untuk Rakyat”.- 1/12/2024
Sultan Selangor tak setuju nama UPM ditukar balik ke nama asal Universiti Pertanian Malaysia
Baru Khamis lalu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan menukar semula nama Uiversiti Putra Malaysia kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia, akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Hari ini,Sabtu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) dikekalkan.
Baginda bertitah bahawasanya Lembaga Pentadbir UPM serta baginda selaku Canselor tidak terlebih dahulu dirujuk berkaitan sebarang cadangan pertukaran nama universiti berkenaan.
“Oleh yang demikian, beta tidak berkenan dengan cadangan tersebut,” titah baginda pada Sidang Kedua Sesi Satu, Istiadat Konvokesyen UPM ke-48 di UPM.
Nama universiti ini ditukar pada 3 April 1997 dari Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia untuk mencerminkan statusnya sebagai institusi pendidikan tinggi yang menawarkan pelbagai program pengajian, termasuk sains dan teknologi maklumat.
Mohamad Sabu kata cadangan tukar balik nama UPM itu ini dibuat dengan mengambil kira keutamaan negara yang kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian, yang semakin penting dalam konteks perubahan iklim global.
“Saya berhasrat begitu (tukar semula nama), sebab dulu asalnya memang nama Universiti Putra adalah Universiti Pertanian. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian, saya ingat sesuai.
“Barangkali masa tukar nama dulu kita tidak fikir isu ‘climate change’ dan perubahan cuaca, jadi sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucap tama dan menjadi moderator pada sidang selari tujuh Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) bertajuk Keterjaminan Makanan yang diselaraskan oleh UPM, di Putrajaya.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin dalam titah ucapannya turut mengesyorkan agar UPM menjalin kerjasama dengan pemain industri dalam bidang pertanian lain, bagi mencari jalan mempopularkan semula sektor pertanian di negara ini terutama kepada generasi muda.
Titah baginda, pandangan negatif masyarakat yang melabelkan bidang pertanian sebagai bidang yang tiada masa depan atau bidang kelas rendah perlu diubah, dan masyarakat perlu diyakinkan bahawa bidang pertanian mempunyai potensi dan masa depan yang cerah.
“Usaha ini perlu dilaksanakan kerana pertanian tetap menjadi satu sektor yang perlu dikekalkan dan merupakan sektor yang penting,” titah baginda.- 30/11/2024