Ini jarang berlaku.
Semalam,Khamis pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana marah dan hilang sabar pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), kelmarin,Rabu.
Hari ini Jumaat beliau memohon maaf dalam mesyuarat jemaah menteri.
Punca marah dan hilang sabar itu ialah beliau merasa kesal dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
Permohonan maaf semasa mesyuarat jemaah menteri diberitahu oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi pada sidang media mingguan Kabinet.
Beliau memberitahu Perdana Menteri berasa perkataan bahasa Inggeris yang digunakan untuk meluahkan kemarahan itu sangat di luar perwatakannya.
“Perdana Menteri hari ini, memohon maaf kepada semua yang hadir. Beliau menjelaskan kenapa beliau memohon maaf kerana beliau berasakan bahasa Inggeris disebut ‘very out of character’ (sangat di luar perwatakan).
“Puncanya adalah beliau berasa kedua-dua inisiatif (MyDigital ID dan projek rangkaian kedua 5G) seharusnya bergerak dengan lebih pantas.
“Beliau memohon maaf dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan (semalam) dan sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” kata Fahmi.
Selain Fahmi, menteri lain yang hadir dalam mesyuarat MED4IRN ialah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Turut sama ialah Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Semasa memohon maaf di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya,Anwar kata pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.
“Ini menyebabkan saya agak hilang kesabaran,” katanya.
Beliau berkata kelewatan kedua-dua projek itu disifatkan sebagai cuai dan menjejaskan kemajuan negara dalam merealisasikan agenda transformasi digital.
“Kerja itu yang saya anggap cuai, lambat kerana bagi saya bagaimana digital kita nak bawa kepada AI (kecerdasan buatan), padahal perkara asas yang patut kita bina dalam negara belum kita siapkan,” katanya.
Anwar berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu adalah penting dan perlu disegerakan kerana negara akan mempengerusikan ASEAN tahun hadapan, yang antara lain memfokuskan kepada agenda Grid Tenaga ASEAN, rangkaian digital dan teknologi makanan.
“Jadi, kita kena bangkit sebagai negara yang punya keupayaan dan menjadi contoh. Saya fikir masa dua tahun itu masa yang cukup untuk mempersiapkan semua ini,” katanya.- 6/12/2024