Monday - 14, July 2025

“Makcik Kemboja” mengaku bersalah hina Melayu..didenda RM40,000

Share

Ini yang dikatakan “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Ingat lagi pada usahawan wanita, Mariyah Yaakob,48 yang digelar ‘Makcik Kemboja’ yang bikin kecoh pada November tahun lalu menerusi satu video yang dakwa orang Melayu malas.

Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh Melaka pada Jumaat kenakan hukuman denda RM40,000 atas kesalahan mengeluarkan kenyataan jelik dalam satu video di media sosial.

Mahkamah sama bagaimanapun membebaskan anak lelakinya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 23, dengan bon jaminan berkelakuan baik RM10,000 tanpa cagaran selama setahun beserta seorang penjamin warga Malaysia atas kesalahan memulakan hantaran komunikasi video itu di media sosial.

Hakim Azaraorni Abd Rahman memutuskan hukuman itu selepas Mariyah dan Ezuan Hafsham masing-masing menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka pada perbicaraan kes hari ini.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar berhujah memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap dua beranak itu.

Katanya, bermula dengan video kenyataan oleh tertuduh pertama yang amat mengguris hati kerana menyentuh bangsa Melayu dan dimuat naik di TikTok oleh tertuduh kedua menyebabkan 23 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenainya termasuk 12 di Melaka.

Mariyah dikesan menggunakan aplikasi TikTok pada 16 November tahun lalu untuk memuat naik satu video dengan mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan ramai.

“Orang Kemboja memang pandai berniaga kan, betul tak? Dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas.” itu antara kata kata dalam video berkenaan.

Video itu dirakam di rumahnya di Bukit Piatu, Kampung Musai, Ayer Keroh,Melaka.

Kesalahan ini dilakukan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Anak lelaki Mariyah, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam yang turut menghadapi pertuduhan sama, dibebaskan dengan bon RM10,000 selepas mengaku bersalah.

Ezuan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membantu memuat naik video tersebut di TikTok antara 14 hingga 16 November tahun lalu. Jika sabit kesalahan, hukuman boleh mencapai denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.- 6/12/2024

Read more

khabar terbaru