Zahid jamin BN akan terus perjuangkan pembebasan Najib

Dewan Merdeka,Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur bergema dengan dengan sorakan ahli-ahli parti komponen BN ketika Pengerusi BN Datuk Zahid Hamidi bersuara mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini semasa Timbalan Perdana Menteri itu beri jaminan BN tidak lupa dan akan terus perjuangkan bekas Perdana Menteri itu yang kini dalam penjara.
Beliau menegaskan Najib mesti berada di luar tabir besi.
Zahid beri jaminan itu pada ucapan di Majlis sambutan Jubli Emas BN di situ.
Ia turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Selain itu , Pengerusi MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Pengerusi MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.
Zahid berkata BN tidak pernah melupakan perjuangan Najib kerana perkara itu adalah mustahil untuk dilakukan.
Beliau menegaskan pendirian parti komponen tersebut adalah untuk melihat Najib segera dibebaskan sebagai tahanan penjara.
“Kami tidak lupakan Bossku (Najib). Sebagai sahabat beliau sejak 1987, mustahil untuk kita lupakan Bossku.
“Saya dan rakan-rakan dalam Majlis Kerja Tertinggi (BN) tidak terlepas (berbincang) isu bossku dalam agenda mesyuarat.
“Kita bersimpati… berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
“Bukan mudah (untuk) beliau (Najib) hadapi ujian ini.
“Tapi saya amat yakin, cahaya yang terang akan datang dari hujung terowong untuk beliau dan keluarga,” katanya.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.
Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 September 2022.
Kini isu yang hangat berlegar ialah mengenai titah tambahan bekas Yang Dipertuan Agong yakni Sultan Pahang supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi penahanan dalam rumah. – 7/12/2024