TAHUKAH ANDA

Rekod Malaysia… Jualan Rahmah MADANI 40 jam catat jualan RM2.7 juta

SATU lagi rekod Malaysia dicipta selepas kejayaan program Jualan Rahmah MADANI 2024 selama 40 jam di Dataran Sejarah Ayer Keroh Melaka mencatatkan jualan sebanyak RM2.7 juta.

Program sempena Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 Zon Selatan itu berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat.

Mengumumkan perkara tersebut Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata karnival itu mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records kerana menganjurkan Jualan Rahmah MADANI selama 40 jam tanpa henti.

“Karnival anjuran KPDN ini juga berjaya menarik kehadiran kira-kira 104,000 pengunjung sehingga pukul 11 pagi tadi.

“Melaka sedia bekerjasama dengan KPDN untuk acara lebih menarik pada tahun depan,” katanya.

Lebih 100 pempamer dan peniaga menyertai karnival yang sebelum ini diadakan di Zon Utara (Perlis), Zon Timur (Kelantan), Zon Tengah (Perak), Zon Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang bakal melabuhkan tirai pada akhir tahun ini, Ab Rauf berkata lebih 70 acara berskala besar berjaya dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata 14 lagi program berkaitan pelancongan akan dilaksanakan menuju acara penutup sambutan itu pada bulan ini.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan pelbagai lagi aktiviti bagi menggamit kehadiran lebih ramai pelancong dan pengunjung sempena Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia yang bakal diadakan di Melaka tahun depan.-9/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button