FOKUS

Gelombang kedua banjir… MCMC pastikan liputan komunikasi tidak terjejas

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang diramalkan bermula hari ini, dengan fokus memastikan liputan telekomunikasi di kawasan terjejas tidak terganggu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hampir semua 323 menara pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat gelombang pertama banjir sebelum ini telah dipulihkan sepenuhnya.

“Kita akan terus memantau prasarana telekomunikasi, khususnya dengan jangkaan gelombang kedua banjir bermula hari ini hingga 11 Disember,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir akan berlangsung dalam tempoh dua minggu dengan Pahang dan Johor dijangka menjadi antara kawasan terjejas.

Menurut Fahmi, MCMC telah bersiap sedia mempercepatkan kerja-kerja baik pulih sekiranya menara pemancar terjejas, bagi memastikan penduduk di kawasan berisiko tidak kehilangan akses komunikasi ketika kecemasan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, pihak polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat panggilan kecemasan palsu berkaitan banjir di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata daripada lebih 1,000 panggilan kecemasan yang diterima Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas mengenai lokasi memerlukan bantuan, 114 didapati panggilan palsu.

Ayob Khan berkata ia merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan menyusahkan pihak berkuasa yang bergegas dan bertungkus-lumus untuk sampai lokasi, namun apabila tiba ia didapati palsu.

“Apabila kita menghantar pasukan menyelamat untuk tengok tempat itu, tiada sesiapa. Saya hendak bagi amaran kepada yang buat panggilan palsu, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Hukuman membuat panggilan palsu ini adalah denda RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Eloklah perbuatan ini dihentikan, kerana tidak membawa faedah dan menyusahkan orang,“ katanya di Pasir Mas Kelantan pada Ahad.

Ayob Khan berkata polis akan memburu individu yang membuat panggilan palsu dan kertas siasatan akan dibuka agar ia menjadi pengajaran.

Beliau berkata panggilan palsu ini bukan sahaja berlaku di Kelantan, tetapi juga di negeri-negeri lain yang terjejas dengan kejadian banjir.-9/12/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button