Pusat Sebaran Maklumat Nasional tenggelam banjir dikunjungi Menteri Komunikasi

Selama lima hari daripada 30 November sehingga 5 Disember Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Petai Bubus, di Kuala Terengganu ditenggelami air separas lutut.
Impak banjir kali ini yang merekodkan paras air lebih tinggi daripada banjir pada tahun 2022, telah menyebabkan beberapa kerosakan antaranya terhadap sistem pendawaian termasuk plag dan soket, suis kunci pintu utama selain beberapa unit meja dan kabinet yang terendam air.
Ia kembali beroperasi sepenuhnya pada 9 Dis, selepas dibersihkan secara gotong-royong oleh penduduk kampung selain dibantu Sahabat Komuniti Desa (SKoD) kampung berkenaan.
Dalam kunjungan ke Pantai Timur pada Rabu,Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turun padang meninjau Pusat Sebaran Maklumat Nasional tersebut.
Dalam lawatannya itu, Fahmi diberikan penerangan mengenai situasi banjir di NADI berkenaan oleh Pengarah Kanan Wilayah Timur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohd Fairus Muhamad, menerusi tayangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Fahmi kemudian diberi taklimat mengenai operasi NADI di situ yang secara puratanya menerima kunjungan kira-kira 30 hingga 50 pengguna setiap bulan, selain mengenai lima teras Perkhidmatan Pintar NADI oleh pengurusnya Mohd Amri Billah Mamat Ali.
Ketibaan Fahmi kira-kira pukul 4.40 petang disambut Pengarah Jabatan Penerangan negeri Terengganu Sait Yaman, Mohd Fairus serta pengurusan syarikat pembekal perkhidmatan CelcomDigi di NADI berkenaan dan Mohd Amri Billah.-12/12/2024