TAHUKAH ANDA

Program HSOP: 24,734 pesakit dari hospital kerajaan dirujuk ke hospital swasta

Bagi mempercepatkan masa menunggu sehingga 75 peratus untuk kes-kes kronik kerajaan telah memperkenalkan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) iaitu pesakit daripada 40 hospital kerajaan di rawat di 91 hospital swasta seluruh negara.

Sehingga 30 November lepas sebanyak 24,734 pesakit telah mendapat manfaat daripada program tersebut kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 1,027 pesakit nefrologi, kardiologi (7,899), kardiotorasik(344) dan radiologi (15,464).

“Dimulakan pada 18 Julai 2024, sejumlah RM144 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif ini dan berdasarkan tinjauan awal ia dapat mengurangkan 75 peratus masa menunggu pesakit untuk pembedahan Arterio-Venous Fistula (AVF) iaitu daripada 16 minggu kepada empat minggu, prosedur MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) dan Ultrasound (20 minggu kepada 16 minggu) dan CT scan (imbasan Tomografi Berkomputer) (14 minggu kepada 12 minggu).

“Justeru kita berharap dapat terus meningkatkan kerjasama awam-swasta ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang cepat dan berkesan untuk rawatan diperlukan,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang mohon penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk membeli perkhidmatan daripada hospital swasta terutamanya di bandar dan kawasan yang perkhidmatan pakar tidak tersedia di hospital awam.

Dr Dzulkefly berkata penyumberluaran melalui HSOP bertujuan mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan mekanisme pembayaran yang ditetapkan ialah berdasarkan konsep bayaran berpakej merangkumi prosedur, konsultasi, ubatan, rawatan susulan, dan penginapan pesakit.

Melalui program HSOP ini, beliau berkata KKM juga dapat mempengaruhi harga perkhidmatan swasta selari dengan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Menjawab soalan tambahan daripada Robert sama ada kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan skim insurans kesihatan nasional seperti dicadangkan banyak pihak, Dr Dzukefly berkata perkara itu memerlukan penelitian teliti.-12/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button