Monday - 6, January 2025

Isu letak jawatan Bendahari PN : Ahmad Shamsuri sudah buka mulut..tetapi tak cerita habis

Share

“Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah.”

Itu adalah kata-kata legenda bola keranjang AS, Kareem Abdul-Jabbar.

Ia dipetik dan dimuat naik oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam facebooknya dicelah kehangatan isu beliau letak jawatan sebagai Bendahari Perikatan Nasional.

Naib Presiden PAS itu yang ditemui wartawan pada Ahad selepas satu majlis di Kuala Terenggganu meminta mereka tafsir dari ayat ayat itu mengenai perletakan jawatan beliau.

Serentak dengan itu beliau menafikan bahawa peletakan jawatannya sebagai Bendahari PN berpunca daripada keretakan dalam gabungan berkenaan.

Kata Ahmad Shamsuri tindakan itu bertujuan memperkukuh PN supaya menjadi pakatan politik yang lebih kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Tidak berlaku keretakan apa-apa. Cuma kita (PN) sedang mencari jalan untuk memperkukuh PN…baca saya punya komen dalam Facebook yang saya petik (quote) dari Kareem Abdul-Jabbar. Kalau boleh tafsir…tafsir dari itulah,” katanya.

Ditanya sama ada tindakannya meletak jawatan didorong oleh isu atau masalah peribadi, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Beliau turut menjelaskan keputusan mengejutnya itu juga tiada kaitan dengan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada PN, semalam.

Ada kalangan pemerhati politik kata mereka agak bingung mendengar penjelasan Menteri Besar Terengganu ini.

Kata mereka ia ibarat …sudah buka mulut tetapi tidak cerita habis.

Pada Rabu lepas, Ahmad Samsuri menerusi kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.

Ia berlaku ketika berlegar spekulasi PAS tidak puas hati kerana kebanyakan jawatan utama dalam PN disandang oleh orang Bersatu.

Mereka dikatakan misalnya mahu jawatan Setiausaha Agung diberi pada Datuk Takiyuddin Hassan …namun jawatan itu diberi kepada Datuk Seri Azmin Ali.

Takiyuddin kekal sebaagai Timbalan Setiausaha Agung PN.

Selain Setiausaha Agung…Jawatan Pengerusi,Ketua Penerangan dan Ketua Wanita dipegang oleh orang Bersatu.– 15 Disember, 2024

Mari intai langkah MB Terengganu letak jawatan Bendahari PN…

Ada satu teka teki baru sedang berlegar….apa lagi kalau bukan bab Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar.

Menteri Besar Terengganu ibarat mengundang segala macam spekulasi bila beliau masih belum mahu ulas sebab kenapa letak jawatan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).

Ini bukan hal kecil kerana ia menyangkut soal keutuhan gabungan PN.

Ahmad Shamsuri dikenali sebagai orang politik yang tidak kontrovesial.

Beliau membawa imej macam seorang pegawai kerajaan yang ‘straight foward’.

Apakah perletakan jawatan yang ibarat kata tidak mahu terima jawatan penting dalam gabungan berkenaan membawa makna tertentu.

Bagi kalangan Tok Nujum politik ada yang sudah awal awal buat andaian keputusan Ahamd Shamsuri itu boleh gegarkan PN.

Beliau menyampaikan keputusan menerusi satu kenyataan pada Rabu.

“Assalammualaikum kepada semua sahabat, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya, Ahmad Samsuri bin Mokhtar, telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional pada hari ini, Rabu, 11 Disember 2024. Sekian. Harap maklum,” katanya dalam mesej ringkas mengenai hal itu.

Ditemui wartawan di Gebeng dekat Kuantan hari ini Khamis Naib Presiden PAS itu enggan memberi sebarang bayangan mengenai alasan meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.

Sebaliknya beliau memberitahu kenyataan mengenainya akan dibuat apabila tiba masa yang sesuai.

Ahmad Samsuri pantas mengesan pihak wartawan yang cuba mendapatkan penjelasan daripadanya.

“Saya dah tahu tajuk soalan yang awak nak tanya… tapi buat masa ini, hari ini, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan dulu.

“Tunggu masa yang sesuai, nanti (masa sesuai) saya akan buat kenyataan,” katanya sebelum meninggalkan majlis.

Ada yang bertanya apakah keputusan ini ada kaitan dengan spekulasi mengatakan PAS kurang senang dengan pembahagian jawatan penting dalam PN.

Apa lagi peletakan jawatan itu dibuat hanya dua hari selepas Majlis Tertinggi PN bermesyuarat untuk mengesahkan pelantikan enam jawatan penting parti berkenaan iaitu setiausaha agung, ketua wanita, ketua penerangan dan ahli majlis tertinggi gabungan itu.

Mesyuarat itu menyaksikan Bersatu mengekalkan kesemua enam jawatan utama dalam gabungan PN.

Keputusan itu dikatakan diambil di sebalik permintaan daripada PAS agar jawatan Setiausaha Agung diberikan kepada Takiyuddin Hassan yang merupakan Setiausaha Agung PAS.

Semua orang tahu kini jawatan Setiausaha Agung PN diberi pada Datuk Seri Azmin Ali.

Jadi apa ceritanya?

Selagi Ahmad Shamsuri sendiri atau pimpinan utama PAS tidak buka mulut bagi penjelasan…teka teki bab ini akan terus menjalar di sana sini.

Dalam perkembangan berkaitan langkah Ahmad Shamsuri buat satu hantaran di Facebook, hari ini juga mencuri perhatian.

Beliau memetik kata-kata renungan seorang legenda bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Kareem Abdul Jabbar.

“Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai.

“Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah,” tulisnya.

Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika diminta ulas isu berkenaan dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen kata beliau sendiri tidak tahu punca Ahmad Shamsuri letak jawatan.

“Susah untuk saya ulas kerana saya tak terlibat dalam (keanggotaan) Majlis Pimpinan Tertinggi PN.

“Jadi, keputusan yang dibuat oleh YB Shamsuri, untuk saya ulas panjang pun susah, sebab saya tak tahu punca kenapa beliau letak jawatan.

“Itu hanya beliau dengan Pengerusi PN.

“Tapi, apa pun saya harap dan saya doakan – dan saya mungkin merayu – kepada rakan-rakan dalam PAS supaya bersabar.

“Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya.

Dalam sidang media berasingan, Ketua Wanita PN, Mas Ermieyati Samsudin, mengakui terkejut dengan keputusan Ahmad Samsuri.

Pada masa sama beliau mengakui Ahmad Samsuri tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada Isnin lalu.

“Saya memang tak ada maklumat sebab saya baru sahaja dilantik, pertama kali datang mesyuarat,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Masjid Tanah itu lagi beliau hanya diminta hadir pada hari tersebut untuk menerima pelantikan sebagai Ketua Wanita PN.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Hanafiah Mat juga dilaporkan kata PAS Terengganu tidak mengetahui isu sebenar di sebalik peletakan jawatan secara mengejut Ahmad Samsuri itu.

Katanya beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi maklumat diterima melalui WhatsApp.

“Kami di peringkat negeri langsung tak tahu cerita yang berlaku.

“Tak boleh nak komen langsung sebab kita tak tahu. Tahu pun (isu peletakan jawatan) dari WhatsApp,”katanya.- 12/12/2024

Read more

khabar terbaru