Isu Zafrul : Kenapa MB Selangor perlu keluar kenyataan ?

Ini pun dikira langkah yang agak mengejutkan.
Kenapa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengeluarkan satu kenyataan yang ada kaitan dengan spekulasi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan keluar UMNO untuk menyertai PKR.
Dah itu pula ia berkait kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Kalangan pemerhati politik setakat tidak nampak isu Zafrul boleh gugat kedudukan Amirudin di negeri itu.
Malah ramai yang melihat kisah Zafrul itu cuma khabar angin saja.
Dalam kenyataan itu Amirudin menegaskan beliau akan kekal dalam jawatannya sebagai Menteri Besar sekurang-kurangnya sehingga tamat penggal.
“Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua tiga hari ini.
“Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya, dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.
“Saya akan kekal di Selangor sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan negeri Selangor,” katanya.
Zafrul yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga adalah Ketua UMNO bahagian Kota Raja di Klang.
Namun Menteri itu bukanlah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk melayakan beliau jadi Menteri Besar.
Kecualilah seorang ADUN di Selangor lepas jawatan untuk bolehkan satu pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri diadakan dimana Zafrul bertanding dan menang.
Majoriti ADUN Selangor kini adalah dari Pakatan Harapan.
Apapun Zafrul dikatakan agak rapat dengan kalangan Istana.
Amirudin merupakan Menteri Besar Selangor ke-16 sejak menjawat jawatan itu pada Jun 2018.- 14/12/2024