TAHUKAH ANDA

Lesenkan platform media sosial bukan untuk halang pengkritik – Fahmi

Langkah kerajaan untuk melesenkan platform media sosial melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu adalah demi keselamatan digital seluruh rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata akta itu diluluskan dengan niat menegaskan kepada penyedia platform media sosial, bahawa untuk beroperasi di Malaysia mereka ada kewajipan menjaga beberapa perkara berkaitan keselamatan terutama yang melibatkan kanak-kanak, di samping tidak membenarkan scammer dan kegiatan judi dalam talian beroperasi di platform mereka.

“Ini sekali-kali tidak menghalang anak-anak muda daripada mengkritik,” katanya.

Beliau berkata keputusan mengenakan lesen kepada pengendali platform media sosial pula dilakukan bagi mengekang kandungan-kandungan tidak beretika yang disiarkan, termasuk yang berkaitan dengan scam serta isu sensitif yang menimbulkan keresahan awam.

“Isu sensitif yang menimbulkan keresahan awam ini yang menjadi cabaran dalam dunia media sosial sekarang. Kita dapati media sosial sejujurnya tak minat sama ada benda (yang dimuat naik) itu betul atau tidak. Mereka (hanya) minat berapa ramai yang tonton. Lagi ramai tonton lagi banyak iklan dia dapat jual, lagi banyak duit dia dapat.

“Facebook sebagai contoh, tahun lepas sahaja daripada jualan iklan di Malaysia, kaut untung RM2.5 bilion, tapi antara iklan dijual yang dibayar oleh pengguna ialah iklan judi, iklan scam. Itulah antara sebab kerajaan putuskan kita perlu melesenkan platform ini, bukan untuk mengekang kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Dewan Rakyatpada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 melalui undi belah bahagi dengan 77 Ahli Parlimen bersetuju, 55 tidak bersetuju serta 90 tidak hadir.

Menurut RUU itu, menjadi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen untuk melaksanakan langkah bagi mengurangkan risiko pengguna yang didedahkan kepada kandungan memudaratkan.

Pemberi perkhidmatan juga perlu mengeluarkan garis panduan kepada pengguna termasuk syarat-syarat penggunaan sebagai panduan semasa menggunakan perkhidmatan tersebut.-12/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button