Monday - 6, January 2025

Ada ‘cerita baru’ yang menarik dalam isu Batu Puteh…

Share

Di celah kehangatan isu Batu Puteh termasuk dakwaan konon Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bertujuan membalas dendam terhadap bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad timbul satu ‘cerita baru’ yang agak menarik.

Mungkin ramai yang tidak sedar sebelum pembentukan RCI pada waktu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ada pasukan petugas khas Batu Puteh menyiasat hal berkenaan yang telah ditubuhkan pada 29 Oktober 2021 oleh kerajaan semasa dibawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

RCI mengenai Batu Puteh pula ditubuhkan pada 14 Februari 2024 atas perkenan Yang Dipertuan Agong.

Apa yang menarik ialah syor agar pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dalam laporan RCI Pulau Batu Puteh adalah sama seperti dalam laporan pasukan petugas khas berkenaan.

Kalau ikut syor laporan RCI siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas bekas Perdana Menteri itu mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.

Persamaan berkenaan diberitahu kepada wartawan oleh Anwar dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada wartawan Jumaat.

Ketika ditemui wartawan selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Darul Ulum, SMKA Putrajaya,Anwar menegaskan laporan RCI bukan bertujuan membalas dendam terhadap Dr Mahathir.

Sambil menasihatkan pembangkang supaya tidak memainkan isu ‘dendam’ Anwar berkata, pasukan petugas khas berkenaan ditubuhkan pada 2021 iaitu ketika mereka adalah kerajaan sebelum ini.

“Tidak timbul pun (untuk balas dendam), pasukan (petugas) khas itu dibuat sebelum saya pun, itu masa Ismail Sabri (Yaakob) sebagai Perdana Menteri.

“Menterinya (ketika itu adalah) Hamzah (Zainudin), Takiyudin (Hassan), pasukan petugas khas ada buat (kajian) dan ‘finding’ (penemuan mengenai kes Batu Puteh) lebih teruk lagi.

“Jadi tak usah main (naratif dendam),” katanya.

Anwar juga berkata, RCI itu sebagai prinsip mempertahankan kedaulatan dan wilayah negara.

“Ini soal wilayah, adakah ada negara yang mengizinkan (dengan) mudah serah (wilayah), mana boleh,” katanya.

Ditanya sama ada Dr Mahathir wajar dikenakan tindakan seperti disyorkan dalam laporan RCI, Perdana Menteri berkata: “Saya tak cadang apa-apa, itu serah kepada Peguam Negara”.

Sebelum ini, pihak pembangkang menyifatkan laporan RCI Batu Puteh itu antara agenda politik dendam khususya terhadap Mahathir yang kini menyokong pembangkang.

Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap kerajaan semasa sidang media selepas menghadiri mesyuarat jemaah menteri hari ini berkata ,“dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa hasil laporan daripada pasukan petugas khas adalah sama dengan syor yang telah dikemukakan dalam RCI Batu Puteh.

“Bermaksud dari satu sudut, kedua-dua mendapati perkara yang sama.

“Laporan Pasukan Petugas Khas telah mengesyorkan agar ada pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dan ini juga apa yang telah disyorkan laporan RCI.

“Untuk Ahli Parlimen Kota Bharu, Ahli Parlimen Larut dan Ahli Parlimen Putrajaya bertindak seolah-olah apa yang disyorkan dalam RCI ini jauh berbeza daripada laporan yang mereka sudah baca ketika berada dalam jemaah menteri, ini cukup mengganjilkan,” katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said beritahu dalam sidang Dewan Rakyat bahawa laporan RCI itu bukan bertujuan mahu mendakwa mana-mana pihak.

Katanya ia sebaliknya bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk memperbaiki kelemahan berkaitan kes itu.

Menurut beliau usul mengenai RCI di Dewan Rakyat mempamerkan kesediaan Kerajaan MADANI untuk mendedahkan laporan berkaitan kes berkenaan kepada umum, berbanding keputusan membabitkan kes sama yang dimuktamadkan Kabinet terdahulu.

Mengulas dakwaan bahawa usul itu adalah alat untuk mendakwa Dr Mahathir, jelas Azalina, proses itu hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat laporan polis dibuat ke atas bekas Perdana Menteri itu dan kemudian bergantung keputusan Peguam Negara, bukannya isu kerajaan.

Beberapa wakil rakyat pembangkang pada sesi perbahasan berkaitan RCI itu di Dewan Rakyat semalam menyifatkan laporan terbabit lebih kepada dendam.- 13/12/2024

Read more

khabar terbaru