MCMC sedang urus kenaikan taraf capaian internet di tiga universiti…

Khabar gembira untuk penuntut Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Mereka akan menikmati kenaikan taraf capaian perkhidmatan internet dalam tempoh terdekat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kata usaha menaik taraf capaian internet di universiti awam lain akan disusuli selepas itu.
Katanya untuk tiga buah universiti berkenaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memperuntukkan sebanyak RM13.7 juta.
Perkara itu akan dikendalikan oleh MCMC dengan sasaran lebih 2,000 titik capaian (access point) dapat beroperasi.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan beritahu demikian pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya Jumaat.
“Semua peralatan WiFi ini akan dipasang bermula Januari (tahun depan), jadi kita harapkan dalam masa yang terdekat, sekurang-kurangnya tiga universiti ini akan lengkap (dengan titik akses WiFi),” katanya.
Menurutnya usaha menaik taraf capaian internet di UA lain akan disusuli selepas itu dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sudah mempengerusikan perbincangan berhubung isu terbabit pada 5 Disember lalu.
Katanya, perbincangan itu dihadiri semua Naib Canselor universiti, wakil Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“(Pada mesyuarat hari ini), Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) juga memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai usaha KPT melengkapkan, menyiapkan semua universiti awam dengan perkhidmatan internet,” katanya.
Pada September lalu, Perdana MenterI, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MCMC dan KPT untuk bekerjasama menyelesaikan isu kelemahan capaian internet terutama di UA.
Inisiatif itu digerakkan bersama sasaran Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang mengkhususkan capaian internet di luar bandar yang sedang memasuki Fasa 2.- 13/12/2024