.
Tolak sebelah hal lain dulu…soalan yang paling besar sekali tentang kisah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ‘sedang tinjau’ untuk masuk parti PKR ialah mengapa beliau sedang berkira kira hendak keluar UMNO.
Ini kerana tanpa nawaitu untuk tinggalkan UMNO polimek ini tidak akan berbangkit.
Sekalipun tidak secara terperinci namun secebis jawapan itu beliau beri dengan jelas dalam kenyataan yang dikeluarkan Ahad malam sebagai respon kepada spekulasi politik yang hangat mengenai dirinya sekarang.
Dilihat sepintas lalu Tengku Zafrul sudah dapat segalanya dalam UMNO seperti mana yang diimpikan oleh mana mana ahli politik.
Bekas CEO CIMB Bank ini ada jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Antarabangsa yakni portfolio yang senior atas kapisitinya sebagai seorang Senator.
Bukan setakat itu beliau juga adalah seorang Ketua UMNO Bahagian iaitu di bahagian Kota Raja dalam Selangor.
Lebih dari itu beliau menang dalam pemilihan jawatan sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Setback yang Tengku Zafrul alami cuma beliau sebagai calon BN tewas tipis 1,002 undi semasa pilihanraya umum ke 15 lalu di kerusi Parlimen Kuala Selangor ditangan Menteri Kesihatan sekarang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari (PH-Amanah).
Kekalahan itu ‘ditampung’ oleh UMNO dengan lantikan sebagai seorang Senator.
Senang cakap…jarang orang yang sudah ada semua jawatan itu hendak korner ke lain.
Jangan lupa Tengku Zafrul pernah bikin kontroversi bila mana beliau letak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April 2024 lalu.
Juga biasanya orang ada jawatan itu tidak senang senang hendak angkat kaki.
Cuba tengok apa sebab beliau ambil keputusan itu.
Sebabnya ialah beliau kecewa dengan prestasi UMNO Selangor kerana melihat perancangan kebangkitan parti setelah tewas teruk di negeri itu sebagai hambar.
Menurutnya, Selangor merupakan sebuah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.
“Keputusan pilihan raya negeri tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.
“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan,” katanya.
Oleh itu katanya lebih baik beliau mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.
Dari kenyataannya pada Ahad jelas Tengku Zafrul merasa keadaan lembab masih tidak berubah dalam UMNO Selangor.
“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini (masa letak jawatan Bendahari UMNO negeri) dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor,” katanya.
Beliau mengambarkan rasa kecewanya lagi bila kata meninggalkan dunia korporat untuk menyertai kerajaan supaya dapat berkhidmat kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurutnya dalam berbuat demikian, fokus politiknya juga adalah untuk melakukan kerja yang baik untuk kepentingan rakyat.
“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.”
Spekulasi tentang langkah politik Tengku Zafrul menjadi semakin hangat bila pada sebelah siang Ahad Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan ada perbincangan awal mengenai penyertaanya dalam PKR.
Dalam kenyataan itu Tengku Zafrul mengakui mengadakan perbincangan dengan PKR, tetapi berkata beliau belum membuat sebarang keputusan.
Apapun beliau menafikan perbincangan itu melibatkan jawatan.
“Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil dibincangkan.
“Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi,” katanya.
Tambahnya, sekiranya sudah membuat keputusan, beliau akan memaklumkan kepada UMNO secara rasmi.
Beliau memberitahu setakat ini tiada seorang pun daripada partinya UMNO menghubunginya untuk mengetahui perkara sebenar.- 15/12/2024
Tungguuuu…Tengku Zafrul akan jawab spekulasi nak keluar UMNO masuk PKR dan jadi MB Selangor
Bagi yang nak tahu sangat pasal spekulasi yang hangat berlegar mengenai langkah politik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz…tandatanya itu akan terjawab sikit masa lagi.
Ditanya wartawan mengenainya di Sungai Besar,Selangor pada Ahad,Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Antarabangsa itu kata beliau akan keluar kenyataan mengenainya.
“Sebenarnya, saya belum pun buat apa-apa komen mengenai politik yang membabitkan diri saya. Pada masa sama kita mendengar semalam Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membuat kenyataan beliau akan kekal sehingga akhir penggal.
“Apa yang saya tahu ada banyak spekulasi yang bermain di luar sana. Untuk menjawab isu ini, Insya-Allah saya akan membuat kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Larian KITA@Bagan Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap.
Spekulasi hangat yang berlegar pasal Tengku Zafrul ialah beliau nak keluar UMNO dan masuk PKR.
Lebih menghangatkan lagi beliau dikatakan mungkin ganti Datuk Seri Amiruddin Saari sebagai Menteri Besar Selangor.- 15/12/2024
Ini reaksi Zahid pasal spekulasi Tengku Zafrul nak keluar UMNO masuk PKR…
Angin tidak…ribut pun tidak…tiba riuh menjalar spekulasi kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz nak keluar UMNO untuk sertai PKR.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu setakat ini masih membisu.
Namun Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ditemui wartawan pada Sabtu kata beliau tidak menerima sebarang pemakluman daripada Tengku Zafrul nak sertai parti lain.
Katanya setakat ini Tengku Zafrul juga tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu.
“Jadi kita tak dapat mengesahkan berita berkenaannya,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.
Serentak dengan itu Timbalan Perdana Menteri kata parti yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil mana-mana ahli parti lain dalam gabungan itu bagi menjaga ‘hati’ parti masing-masing.
Justeru beliau menasihati semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga perpaduan yang terbina dalam gabungan tersebut sebaiknya.
Malah beliau turut mengingatkan ahli dan pemimpin parti untuk mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi masing-masing.
“Apa pun agenda peribadi hendaklah diketepikan jika seseorang itu mahu partinya diberikan keutamaan. Kalau memberikan kepentingan peribadi sebagai keutamaan, maka kita serahkan untuk ahli-ahli menilai integriti seseorang itu,” katanya.
Selain Ahli Majlis Tertinggi UMNO,Tengku Zafrul ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja di Selangor.
Cuma 1 April lalu situasi agak panas sikit bila beliau umum letak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor kerana tidak puashati dengan tahap prestasi UMNO negeri itu.
Ikut cakap cakap yang berlegar spekulasi terbaru mengatakan beliau nak keluar UMNO dikaitkan dengan tempohnya sebagai Senator akan berakhir hujung tahun ini.
Kini beliau pegang jawatan menteri atas kapisiti sebagai Senator.
Tanpa kedudukan sebagai Senator beliau wajib lepaskan jawatan menteri.
Pada pilihanraya umum lalu,beliau tewas tipis ditangan calon PH Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kini Menteri Kesihatan di kerusi Parlimen Kuala Selangor.
Dalam pada itu Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh turut mengesahkan setakat ini tidak menerima borang permohonan daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti berkenaan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pula berkata pihaknya percaya ‘kasih sayang’ Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja kepada parti cukup tinggi dan hubungan peribadi antara mereka juga baik.
“Saya tak ada dengar dan tidak dapat makluman, maka saya menganggapnya sebagai khabar angin,”katanya.- 14/12/2024