Monday - 6, January 2025

UMNO ‘pandang serius’ kenyataan Anwar sahkan ada perbincangan awal Tengku Zafrul masuk PKR…tak benar ahli ‘lompat parti’

Share

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada petang Ahad dengan segera mengeluarkan satu kenyataan mengenai pendirian parti itu berhubung pengesahan Presiden PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim
bahawa ada perbincangan awal dengan Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz untuk sertai PKR.

Kenyataan empat perenggan itu tegaskan UMNO ‘ pandangan serius’ hal berkenaan.

Berikut ialah kenyataan itu :

USAH BENARKAN BUDAYA LOMPAT-MELOMPAT DIKALANGAN PARTI-PARTI KERAJAAN PERPADUAN

  1. UMNO memandang serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  2. Perdana Menteri telahpun merujuk dan meminta pandangan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  3. Pendirian UMNO tetap tegas bahawa UMNO tidak akan sesekali menerima dan membenarkan perlakuan ‘lompat-melompat’ ahli mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.
  4. Budaya mengambil ahli atau pemimpin parti masing-masing hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan hingga menggugat kestabilan gabungan.

Malam tadi Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh dalam satu kenyataan dengan tegas kata UMNO perlu mengkaji semula hubungan dengan Kerajaan Perpaduan jika ada parti-parti di dalam gabungan itu yang cuba mengambil ahli daripada parti lain.

Katanya ini kerana UMNO adalah sebuah parti bermaruah dan tidak boleh ditendang ke sana sini.

Jelasnya, semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, ada juga parti kerajaan yang sibuk mencuri ahli Umno.

“Kali ini jika berlaku maka kita perlu tegas.

‘Jika ada ‘kawan’ yang dalam kerajaan sendiri tidak mampu nak hormat Umno dan BN dengan nak ambil ahli parti kawan sendiri maka seharusnya kita perlu kaji semula hubungan ini,’’ katanya.

Kelmarin Presiden UMNO Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi dalam ulasan mengenai spekulasi Tengku Zafrul nak keluar UMNO masuk PKR kata parti yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil mana-mana ahli parti lain dalam gabungan itu bagi menjaga ‘hati’ parti masing-masing.

Justeru beliau menasihati semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga perpaduan yang terbina dalam gabungan tersebut sebaiknya.

Malah beliau turut mengingatkan ahli dan pemimpin parti untuk mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi masing-masing.

“Apa pun agenda peribadi hendaklah diketepikan jika seseorang itu mahu partinya diberikan keutamaan. Kalau memberikan kepentingan peribadi sebagai keutamaan, maka kita serahkan untuk ahli-ahli menilai integriti seseorang itu,” katanya.

Selain Ahli Majlis Tertinggi UMNO,Tengku Zafrul ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja di Selangor. – 15/12/2024

Read more

khabar terbaru