
Awas ada mata yang mengintai…Menteri Luar ‘kena cekup’…
Siapa sangka Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kebelakangan ini sibuk terbang sana sini serata dunia untuk urusan negara tiba tiba jadi viral.
Ini bukan kerana kes berat silap langkah politik segala macam.
Sebaliknya ia cuma gara gara tersebar gambar wajah yang seiras Timbalan Presiden UMNO ini ‘kena cekup’ sedang hisap rokok di sebuah restoran.
Isunya di sini ialah beliau didakwa telah langgar undang-undang di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Ia berkait bab kurang manis dari segi contoh dan teladan…kerana beliau orang besar dalam politik.
Al kisahnya kejadian didakwa berlaku di kawasan parlimen beliau di Rembau,Negeri Sembilan.
Dalam gambar yang tersebar itu kelihatan ditangan orang yang seiras Mohamad Hasan itu ada rokok ketika sedang bersembang santai dengan beberapa orang lain di sebuah meja di restoran berkenaan.
Gambar itu disebar oleh seorang pengguna akaun X.
Ikut ceritanya gambar berkenaan sudah jangkau lebih 700,000 tontonan.
Mengikut Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) antara 28 lokasi larangan merokok yang wajib dipatuhi selain premis kedai makan adalah kawasan hospital, klinik, lif atau tandas awam, taman asuhan kanak-kanak, kaunter perkhidmatan awam, stesen minyak, perpustakaan dan kompleks sukan.
Apa yang menarik rakan sejawatnya dalam kabinet yakni Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terpaksa bertindak.
Kebetulan Dr Dzulkefly ialah peneraju utama dalam pengubalan akta berkenaan.
Sebagai mengulas hal berkenaan menerusi hantaran di laman X Dr Dzulkefly menegaskan tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang bawah akta itu jika merokok dalam restoran.
“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuatkuasa pada 1 Oktober yang lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘Tiada siapa yg boleh mengatasi undang-undang, katanya.
Jawabnya orang politik selalu kena ingat…pandang kiri kanan depan belakang…tak kira dimana sekalipun.
Sebagai public figure ada saja mata yang mengintai mereka.- 17/12/2024