Walaupun saban hari didedahkan dengan berbagai cerita scammer masih ramai yang terpedaya dengan kelicikan sindiket tersebut yang mencari mangsa rata-ratanya dikalangan warga emas yang kesepian.
Terbaru, dua wanita terjerat dengan sindiket Love Scam dan seorang lelaki pesara kerajaan terperangkap dengan sindiket Phone Scam yang semuanya membawa kerugian lebih RM5.4juta.
Dua wanita dan seorang lelaki berputih mata selepas masing-masing terperdaya dengan sindiket Love Scam dan Phone Scam, mengakibatkan kerugian lebih RM5.4 juta dalam tiga kes berasingan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam kes di Sabah, seorang akauntan wanita berusia 67 tahun kerugian RM2.2 juta selepas diperdaya seorang lelaki mendakwa warga Amerika Syarikat yang dikenalinya di Facebook sejak Oktober 2017.
Beliau berkata wanita berkenaan menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki berkenaan selepas sebulan berkenalan dan telah bersetuju membantu suspek mendakwa ahli perniagaan yang berhasrat berpindah ke Malaysia dengan membuat pembayaran berjumlah RM5,000 ke dalam akaun diberikan.
“Suspek kemudiannya terus meminta wang dengan pelbagai alasan seperti masalah peribadi dan urusan perniagaan,“ katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa telah membuat 306 transaksi ke dalam 50 akaun bank berbeza dan hanya menyedari ditipu pada November lepas sebelum membuat laporan polis semalam.
“Siasatan mendapati sebahagian wang itu adalah hasil pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakan,“ katanya.
Dalam kes berasingan, Ramli berkata seorang wanita berusia 57 tahun mengalami kerugian RM2.47 juta akibat terjerat dalam love scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga England di Facebook, sekitar April lepas.
“Setelah berinteraksi selama dua minggu, lelaki tersebut mendakwa ingin datang ke Malaysia bertemu mangsa. Bagaimanapun, drama bermula apabila mangsa dihubungi individu yang mengaku sebagai pihak kastam, mendakwa telah menahan lelaki itu kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM4.66 juta atau US$5 juta.
“Bagi membebaskannya, mangsa yang berkerja di sektor swasta itu telah diminta membuat pembayaran untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kedutaan dan telah membuat 13 kali pindahan wang ke 13 akaun bank berbeza dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.47 juta,“ katanya.
Ramli berkata mangsa yang menyedari telah ditipu telah membuat laporan pada 28 Nov lepas.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan berusia 61 tahun mengalami kerugian sebanyak RM804,903 akibat terperdaya dengan taktik licik sindiket Phone Scam yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Bhd cawangan Kuantan, Pahang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bil elektrik rumah di Kuantan.
Ramli berkata pesara lelaki itu yang menerima panggilan pada 15 Nov lepas, menafikan beliau memiliki rumah tersebut dan panggilannya telah disambungkan kepada dua individu mendakwa ‘Inspektor Fahmi’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan ‘Datuk Fauzi’ dari BNM.
“Mangsa diarahkan oleh Datuk Fauzi untuk melapor diri setiap hari kepadanya dan menyerahkan kad bank serta nombor pin atas alasan siasatan lanjut. Akibat tertekan, mangsa menyerahkan kad bank miliknya dengan meletakkan di atas tembok pagar rumah selain diarahkan mengeluarkan wang simpanan dan memasukkannya ke dalam akaun diberikan sindiket.
“Mangsa turut beberapa kali membuat pemindahan wang ke akaun lain yang diarahkan sindiket, kononnya bagi mengelakkan daripada direman,“ katanya.
Ramli berkata mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan pada 6 Dis lepas.
Menurut Ramli, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-18/12/2024