Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan purata kerugian akibat jenayah komersial mencecah RM7.9 juta sehari bermula Januari sehingga 15 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 30,724 kes dilaporkan membabitkan kerugian keseluruhan RM2.77 bilion.
“Purata 88 kes dilaporkan sehari dan jumlah keseluruhan kes mencatatkan penurunan tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 31,588 kes.
“Namun, nilai kerugian meningkat sebanyak 44 peratus berbanding RM1.92 bilion pada tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, 45 peratus atau 13,721 kertas siasatan berjaya dituduh setakat ini, menunjukkan peningkatan berbanding 43 peratus atau 13,450 kes pada tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Ramli turut mendedahkan berlaku peningkatan kes melibatkan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along sejak 2021.
“Sebanyak 977 kes direkodkan pada 2021, 989 kes (2022), 1,162 kes (2023), dan 981 kes sehingga November tahun ini.
“Berdasarkan operasi yang dijalankan, seramai 4,737 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan along sejak empat tahun lalu,” katanya.
Menurut Ramli, kajian mendapati majoriti peminjam mengetahui risiko namun terpaksa meminjam akibat desakan hidup.
“Masyarakat perlu elakkan meminjam daripada along. Walaupun polis giat menjalankan operasi, masalah ini tidak akan selesai jika permintaan masih wujud,” tegasnya.
Beliau menasihati masyarakat agar memilih institusi kewangan sah atau pemberi pinjaman berlesen sebagai jalan penyelesaian.
“Jangan sesekali terjerumus ke dalam perangkap along kerana akhirnya anda yang akan menjadi mangsa,” ujarnya.-18/12/2024