TAHUKAH ANDA

Malaysia putuskan terus atau tidak HSR paling lewat Jan 2025

Malaysia akan membuat keputusan sama ada menghidupkan semula atau tidak projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura menjelang akhir 2024 atau awal Januari 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagaimanapun berkata kertas dasar mengenai projek itu, yang bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara kededua bandar itu kepada 90 minit, tidak akan menentukan sama ada projek tersebut benar-benar akan dihidupkan semula.

Beliau berkata kerajaan Malaysia masih perlu memulakan semula perbincangan bersama Singapura kerana HSR itu adalah sebuah projek rentas sempadan menelan belanja berbilion ringgit.

“Untuk menguruskan jangkaan (orang ramai), ia (kelulusan Kabinet) bukanlah kata akhir mengenai projek itu, tetapi lebih kepada persoalan hala tuju kita dari sini.

“Ia adalah projek rentas sempadan, dan hanya boleh dimuktamadkan serta dilaksana selepas rundingan dengan pemerintah Singapura,” kata Loke, dalam satu temu bual bersama New Straits Times.

Projek HSR asalnya dipersetujui secara rasmi antara Malaysia dengan Singapura pada Februari 2013 dan dijangka siap pada 2026.

Laluan sepanjang 350 kilometer itu termasuk stesen di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Susulan pertukaran kerajaan pada 2018, Putrajaya mengumumkan projek itu akan dikaji semula berikutan kebimbangan mengenai kos dan implikasi kewangan kepada negara.

Kerja-kerja projek itu digantung pada September 2018 dan pada 2021.

Projek itu ditamatkan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang diminta Malaysia.

Malaysia terpaksa membayar Singapura $102.8 juta (RM340 juta) sebagai pampasan untuk kos yang ditanggung.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini berkata kerajaan terbuka untuk memulihkan projek itu jika kosnya dapat diturunkan.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, berkata sebelum ini bahawa republik itu terbuka kepada cadangan mengenai HSR.

Pada September, media melaporkan tiga konsortium disenarai pendek dan melalui penilaian bagi peringkat kertas cadangan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).

Tiga konsortium itu ialah konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya Rail), konsortium YTL Construction Sdn Bhd, dan konsortium dari China, China Railway Construction.-19/12/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button